Buat saringan segera jika ada kontak dengan kumpulan ada kaitan COVID-19
Syafik Shukri Jalil
April 6, 2020 13:50 MYT
April 6, 2020 13:50 MYT
Individu yang pernah bertemu atau duduk dengan rapat bersama mereka yang disahkan menghidap COVID-19 terutama empat kumpulan utama di Samarahan, diminta untuk tampil membuat ujian saringan dengan segera.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian, membuat seruan kepada mereka yang mempunyai kontak itu menerusi hantaran di laman Facebook rasminya.
Empat kumpulan berkenaan adalah termasuk tiga kluster COVID-19 iaitu mereka yang menghadiri Majlis Jerayawara Wawasan Ummah Gemilang Majlis Islam Sarawak (MIS) pada 10 Mac 2020 di Dewan Suarah Kota Samarahan.
Dua lagi kluster adalah staf dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Samarahan dan kluster Good News Fellowship.
Selain itu, mereka yang mempunyai kontak dengan individu yang terdedah dengan pesakit COVID-19 juga perlu membuat saringan, katanya.
Jelasnya, dengan melakukan ujian saringan ini, ia sekali gus dapat menyelamatkan diri sendiri, keluarga dan seluruh warga Bumi Kenyalang.
Saringan boleh dibuat di Dewan Suarah Kota Samarahan dari jam 8.30 pagi hingga 11 pagi dan 1 petang hingga 3 petang setiap hari bermula 6 April.
#COVID-19
#Datuk Dr Sim Kui Hian
#Dewan Suarah Kota Samarahan
#Facebook
#kluster
#Samarahan
#Sarawak