Buat permohonan dan setuju jika guna 'nama pelik' - JPN
Bernama
Oktober 2, 2018 21:24 MYT
Oktober 2, 2018 21:24 MYT
Ibu bapa yang ingin mendaftarkan nama anak mereka dengan nama yang tidak digalakkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), perlu mengemukakan permohonan dengan menyatakan persetujuan untuk menggunakan nama itu.
Dalam satu kenyataan, JPN berkata pihaknya mengkategorikan penamaan kanak-kanak yang dilarang kepada dua kategori iaitu Nama Yang Ditegah dan Nama Yang Tidak Sesuai.
Ia menjelaskan Nama Yang Ditegah adalah seperti nama gelaran, keturunan, lucah, bermaksud buruk, initials dan ringkas manakala Nama Yang Tidak Sesuai adalah seperti nama binatang, lucu, buah-buahan, peralatan, huruf atau angka atau gabungan kedua-duanya dan nama yang tidak elok maknanya.
"JPN tidak meletakkan syarat khusus dalam pemberian nama kanak-kanak oleh ibu bapa.
"Keputusan untuk pemberian nama kepada kanak-kanak adalah bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa atau pemaklum kelahiran itu. Nama yang diberikan oleh ibu bapa bergantung kepada individu itu dan adalah subjektif.
"Ibu bapa yang ingin menamakan anak mereka dengan nama yang tidak digalakkan dan pihak JPN akan menasihatkan mereka akan ketidaksesuaian nama yang dipilih terlebih dahulu," katanya.
Menurut JPN, sehingga kini, jabatan itu menerima pendaftaran nama mengikut permohonan yang didaftarkan dan tidak menghadkan jumlah aksara
"Pendaftaran nama bagi Sijil Kelahiran juga akan digunakan dalam MyKad. Ruang nama atas MyKad pada masa ini hanya boleh dimasukkan sebanyak 80 aksara sahaja.
"Bagaimanapun jika terdapat mana-mana individu yang mempunyai nama melebihi 80 aksara, individu itu boleh dikeluarkan Kad Pengesahan Nama (KPN) sebagai pengesahan nama panjang yang tidak muat dicetak di atas MyKad," katanya.
-- BERNAMA
#80 aksara
#Jabatan Pendaftaran Negara
#JPN
#Kad Pengesahan Nama
#Kanak-kanak
#KPN
#Nama Yang Ditegah
#Nama Yang Tidak Sesuai