Buat laporan walaupun kes kecil, kata polis

Bernama
Ogos 27, 2014 06:28 MYT
Buat laporan walaupun kes kecil, kata polis
Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa meminta orang ramai, khususnya penduduk luar bandar, agar bertindak membuat laporan polis meskipun kes hanya melibatkan kecurian kecil di kawasan mereka.
Beliau berkata jika ia tidak dilaporkan, ia boleh membawa kepada perbuatan jenayah yang lebih besar.
"Walau kes kecil seperti kecurian kasut, kita tetap kena ambil serius. Mungkin pada asalnya penjenayah hanya mahu mencuri kasut. Tapi bila lihat pintu rumah tidak berkunci, mereka tidak akan melepaskan peluang yang terhidang," katanya kepada Bernama.
Jamshah berkata jika tiada laporan dibuat, pihak polis akan menganggap kawasan berkenaan adalah bebas jenayah dan selamat.
"Bila ada maklumat dan laporan, kita dapat membuat rondaan dan pemantauan di kampung terbabit, sekali gus dapat mengurangkan kadar jenayah," katanya.
Beliau berkata beberapa program yang dilaksanakan bersama masyarakat seperti `1Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung' serta `1Polis' dan `1Masjid' dapat mengurangkan kadar jenayah di Terengganu.
#jenayah #PDRM