Buat laporan polis palsu kononnya diragut, kelindan lori didenda RM1,500

Bernama
Jun 15, 2022 07:49 MYT
Drhaarmailingam didenda RM1,500 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di Petaling Jaya semalam kerana membuat laporan palsu kononnya diragut ketika pergi ke pasar. - Gambar hiasan
PETALING JAYA: Seorang kelindan lori didenda RM1,500 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu kerana membuat laporan polis palsu kononnya diragut ketika pergi ke pasar bagi mengelak dikompaun berhubung kehilangan kad pengenalannya.
Majistret Zhafran Rahim Hamzah menjatuhkan hukuman itu ke atas R. Drhaarmailingam, 34, yang mengaku bersalah memberikan maklumat secara bertulis kepada seorang koperal yang tertuduh mengetahui ia adalah palsu sehingga menyebabkan seorang pegawai penyiasat polis melakukan siasatan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Balai Polis Kelana Jaya pada 9 malam, 12 Jun lepas mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Md Kamal memohon hukuman setimpal, namun peguam Jasmine Faith yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan kerana anak guamnya bertindak sedemikian untuk menjimatkan duit setelah kehilangan kad pengenalan.
"Anak guam saya telah insaf dan memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pelbagai pihak akibat perbuatannya," kata peguam itu yang turut memaklumkan tertuduh masih bujang dan menanggung bapa yang menghidap strok.
Mengikut fakta kes, tertuduh membuat laporan polis menyatakan dompetnya telah diragut oleh dua lelaki bermotosikal ketika sedang berjalan kaki untuk ke pasar.
Hasil siasatan polis mendapati, kejadian ragut itu tidak berlaku sebaliknya tertuduh membuat laporan polis palsu kerana tiada wang untuk membuat kad pengenalan baharu dan untuk mengelak daripada didenda oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Di mahkamah sama, ibu tunggal Lim Zhi Yi, 25, turut didenda RM1,500 atau penjara sebulan selepas mengaku bersalah kerana membuat laporan polis palsu kononnya disamun di stesen minyak, lima hari lepas.
Ibu anak tiga itu didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Polis Serdang pada 11.45 pagi, 10 Jun lepas, mengikut Seksyen 182 kanun sama.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh membuat laporan polis menyatakan dia telah disamun oleh dua lelaki bersenjatakan pisau di tandas sebuah stesen minyak.
Setelah disiasat, pihak polis mendapati tiada kejadian samun berlaku dan tertuduh kemudiannya mengakui telah membuat laporan palsu.
Wanita itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia menanggung tiga anak dan insaf atas perbuatannya, namun Siti Maryam memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh.
-- BERNAMA
#ragut #laporan palsu #mahkamah #kad pengenalan
;