Buat komunikasi secara tidak wajar, pengasas 'Refuge for the Refugees' dilepas tanpa dibebas
Bernama
April 25, 2022 18:08 MYT
April 25, 2022 18:08 MYT
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas tanpa membebaskan (DNAA) pengasas pertubuhan bukan kerajaan, Refuge for the Refugees, atas pertuduhan menggunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar dengan memulakan penghantaran komunikasi untuk menyakiti hati orang lain mengenai pelarian di negara ini melalui Facebooknya.
Hakim M. M. Edwin Paramjothy membuat keputusan itu setelah membenarkan bantahan awal dikemukakan Heidy Quah Gaik Li, 28, bahawa pertuduhan terhadapnya tidak mematuhi keperluan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan Seksyen 152 hingga 154 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).
Peguam New Sin Yew yang mewakili Quah, yang mengesahkan perkara itu berkata secara ringkas, hakim mendapati pertuduhan itu tidak mematuhi Seksyen 152 hingga 154 CPC kerana pertuduhan gagal mematuhi bahasa yang ditetapkan dalam Seksyen 233 AKM dan pertuduhan itu tidak mempunyai unsur perundangan yang diperlukan.
"Tertuduh dibiarkan tertanya-tanya berhubung pertuduhan yang dibuat terhadapnya. Haknya di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan telah dilanggar oleh ketidakpatuhan peruntukan dalam CPC.
"Oleh itu, membenarkan perbicaraan diteruskan adalah satu penyalahgunaan proses dan akan mengurangkan atau menjadikan hak perlembagaan tertuduh menjadi tidak berkesan atau ilusi," katanya.
Pada 27 Julai lepas, Quah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.
Wanita itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain berkaitan dakwaan penganiayaan terhadap pelarian di pusat tahanan Imigresen melalui Facebook miliknya menggunakan nama profil 'Heidy Quah' pada 5.30 pagi, 5 Jun 2020.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkannya diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.
-- BERNAMA