Buat kecoh, PDRM buka kertas siasatan libat pegawai polis wanita
Sinar Harian
Jun 18, 2023 20:00 MYT
Jun 18, 2023 20:00 MYT
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan melibatkan seorang pegawai polis wanita kerana mencetuskan kekecohan di parkir sebuah pusat beli-belah di Brickfields dekat sini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, berlaku perselisihan faham antara seorang pegawai polis wanita dan orang awam dalam satu kejadian pada Jumaat.
Menurut beliau, seorang wanita tempatan berusia 27 tahun telah membuat laporan polis berkaitan kejadian tersebut yang berlaku jam 5.26 petang ketika dia sekeluarga berada di lokasi kejadian.
Tambah Amihizam, hasil siasatan awal mendapati perselisihan faham itu berlaku apabila pegawai polis wanita tersebut ingin meletakkan kenderaan di sebelah kenderaan pengadu, tetapi pintu kenderaan pengadu di bahagian sebelah pemandu dan penumpang belakang terbuka.
"Pengadu menyatakan neneknya sedang menukar lampin pakai buang anak saudaranya ketika itu.
"Pegawai polis wanita yang tidak berpuas hati itu bagaimanapun telah menekan hon kenderaan, selain dilihat telah menjerit dan memarahi pengadu serta ahli keluarganya.
"Selain itu, pegawai tersebut juga telah memperlekeh pakaian pengadu yang kelihatan seksi serta bertindak merakam video," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mengulas lanjut, Amihizam berkata, perselisihan faham itu bagaimanapun berjaya dileraikan oleh saksi kejadian iaitu sepasang suami isteri.
"Pengadu kemudiannya terus masuk ke pusat membeli-belah bersama ahli keluarga," katanya.
Menurut Amihizam, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Tambahnya, tindakan tatatertib dan kesihatan mental pegawai polis wanita itu masih dalam siasatan serta rujukan pihak PDRM.
"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat apa-apa spekulasi berhubung dengan video tular tersebut kerana kes ini masih dalam siasatan pihak polis.
"Sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada hotline polis Brickfields di talian 03-2297 9222, selain menghubungi hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya. - Sinar Harian