'Buat aduan kepada pihak atasan bukan sebar di sosial media' - Razarudin

Faida Rahim
Ogos 10, 2023 06:15 MYT
Tambah Razarudin, insiden ini merupakan khilaf pegawai PSP termasuk pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang sepatutnya peka dengan penempatan setiap anggota menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).- Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sebuah video yang memaparkan keadaan sebuah berek polis bagi penempatan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) yang tular di aplikasi TikTok sepatutnya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan reputasi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengingatkan anggota keselamatan agar tidak menjadikan platform media sosial sebagai medium komunikasi sebaliknya membuat aduan terus kepada pihak atasan.
"Ada juga keluar TikTok kononnya troup 1C, daripada PSP Cheras telah ditempatkan di berek yang buruk. Sepatutnya dia tak perlu mengadu pada media sosial. Mengadulah pada ketua dia. Ketua dia akan bercakap dengan OCPD.
"Di mana tempat yang sepatutnya diletakkan dia, anggota dia, yang dia nak mengadu dengan media kononnya nak buat TikTok ini dia dapat apa? Kalau dia bagitahu ketua dia, ketua dia bagitahu saya pun boleh," katanya.
Tambah Razarudin, insiden ini merupakan khilaf pegawai PSP termasuk pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang sepatutnya peka dengan penempatan setiap anggota menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
"Apabila saya melawat tempat yang ditularkan ini kononnya ditempatkan di tempat yang tidak berpenghuni ini, berek lama ini maksudnya Ketua Polis Daerah yang lain dan Ketua Polis Negeri lain, patut sudah 'alert'.
"Dia tentukan bahawa tempat tidur anggota bantuan ini ditetapkan sekurang-kurangnya tempat bersih, ada katil, ada kipas kalau tak ada 'aircond' pun," katanya.
Dalam masa sama, Razarudin turut mengarahkan komander PSP untuk menjalankan siasatan terhadap anggota yang memuat naik video tular terbabit.
#Ketua Polis Negara #PRN #Razarudin Husain #media sosial
;