Buang sampah secara haram di Ipoh, kompaun RM1,000 tanpa rayuan menanti anda!
Aida Aziz
Ogos 1, 2022 18:57 MYT
Ogos 1, 2022 18:57 MYT
IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan mengambil tindakan tegas dengan mengeluarkan kompaun RM1,000 tanpa sebarang rayuan kepada pembuang sampah haram mulai 3 Ogos ini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, kompuan itu dikenakan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan.
Tegasnya, tindakan itu selari dengan usaha berterusan MBI untuk mencapai hasrat menjadikan Ipoh Bandaraya Terbersih di 2023 serta Pihak Berkuasa Tempatan Terbaik di Malaysia.
"MBI mengecam tindakan segelintir warga kota Ipoh yang gemar membuang sampah haram sesuka hati, yang disifatkan tidak memiliki perasaan sayang terhadap bandar raya ini hingga sanggup berkelakuan sebegitu.
"Sehubungan itu, mulai 3 Ogos ini warga kota Ipoh yang gemar membuang sampah haram sesuka hati di bandaraya Ipoh bakal dikenakan tindakan tegas oleh MBI.
"Tindakan segelintir warga kota yang tidak bertanggungjawab inilah yang telah mencalarkan imej warga Ipoh sekali gus menggagalkan usaha MBI untuk memupuk budaya “Ipoh Bestari Sejahera"," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut Rumaizi, sikap suka membuang sampahb sesuka hati wajar dihentikan segera kerana tindakan itu akan memberikan contoh tidak baik.
Untuk rekod, sejak 1 Januari hingga 30 Julai lalu, MBI telah membersihkan 1,672 lokasi longgokan sampah haram sebanyak 3,765 kali dan mengeluarkan 780 kompaun bernilai RM205,590.
Rumaizi memberitahu, MBI turut menjalankan 17 gotong-royong serta memasang 83 papan tanda “Dilarang Membuang Sampah” di sekitar bandaraya Ipoh.
Beliau dalam sama mengingatkan orang ramai tanggungjawab membersihkan bandar raya bukanlah terletak di bawah MBI semata-mata tetapi memerlukan penglibatan semua pihak.
Justeru, katanya, kompaun yang dikenakan merupakan langkah terakhir setelah tindakan lain tidak diendahkan oleh warga kota Ipoh.
Sebelum ini media, melaporkan tindakan lebih tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sampah haram di bandar raya ini.
Keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Penuh MBI bulan Julai, di mana ramai Ahli Majlis MBI sebulat suara bersetuju dengan cadangan mengenakan kompaun lebih tinggi kepada pelaku.
Dengan cara itu sahaja pihak terbabit akan lebih berhati-hati dan tidak mengulangi perbuatan tersebut.