Buang sampah merata? Hukuman ini menanti anda....
Rahimah Abdullah
September 30, 2018 15:53 MYT
September 30, 2018 15:53 MYT
Mana-mana individu yang didapati bersalah membuang sampah bukan di kawasan sepatutnya akan dihukum melakukan kerja-kerja komuniti,ujar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
Beliau menjelaskan, cadangan itu adalah antara yang terkandung dalam pelaksanaan Dasar Komuniti Negara.
Kementeriannya ketika ini sedang berusaha menambah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi mengesan 'pesalah' berkenaan.
"Pemasangan CCTV ini di PPR juga adalah projek perintis yang kita akan laksanakan melalui Dasar Komuniti Negara kerana kita mahu memantau kebersihan dan mendidik komuniti menjaga kebersihan. Antara yang terkandung dalam Dasar Komuniti Negara ialah, mereka yang membuang sampah merata-rata, kita akan memberikan mereka hukuman komuniti iaitu melakukan kerja-kerja komuniti," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Mendaya Komuniti di PPR Lembah Subang 2 di sini, hari ini.
Mereka yang ditangkap membuang sampah dan mengulangi perbuatan berkenaan akan terus diarah melakukan kerja komuniti termasuk kerja memungut dan mengitar semula sampah.
"Hukuman akan diberikan kalau mereka sudah diberi amaran tetapi masih buang sampah lagi, kerana CCTV itu boleh zoom kepada sesiapa yang buat kesalahan buang sampah. Kita akan suruh mereka buat kerja komuniti seperti kerja membuang sampah dan kitar semula dan sebagainya," tambahnya lagi.
Ini merupakan pendekatan terbaharu yang cuba dilakukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam mengatasi masalah sampah dan memupuk kesedaran menjaga kebersihan di kalangan komuniti di kawasan perumahan dan PPR.
Dalam ucapannya, Zuraida berkata, 60 peratus daripada masyarakat Malaysia masih belum ada budaya buang sampah ke dalam tong sampah.
"Jadi komuniti perlu mulakan budaya buang sampah ke dalam tong sampah. Keduanya, komuniti yang berdaya ialah komuniti yang mampu menegur antara satu sama lain. Jangan segan dan malu," ujarnya.