Buang sampah dari kenderaan: Pelaku berdepan denda RM2,000 atau 6 bulan penjara

Bernama
Januari 6, 2021 16:33 MYT
JPJ telah mengeluarkan notis temu siasat kepada pemilik sebuah kereta berhubung tindakan seorang wanita melontar sampah keluar dari kenderaan itu. - Gambar/ Media sosial
KOTA BHARU: Pengguna jalan raya yang didapati membuang sampah dari kenderaan boleh didenda hingga RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan, kata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan.
Merujuk kepada satu klip video yang tular semalam, jabatan itu berkata pihaknya telah mengeluarkan notis temu siasat kepada pemilik sebuah kenderaan berhubung tindakan seorang wanita melontar sampah keluar dari kenderaan tersebut yang dipercayai berlaku di Kelantan.
Perbuatan itu menyalahi Kaedah 52 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan pelaku boleh diambil tindakan menurut Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987, demikian menurut kenyataan itu.
Menurut jabatan itu lagi, pelaku yang mengulangi kesalahan sama akan berdepan hukuman denda hingga RM4,000 atau penjara tidak lebih dua bulan, atau kedua-duanya.
Semalam, tular satu klip video memaparkan sebuah kenderaan berhenti di tepi jambatan sebelum seorang wanita membuang bungkusan plastik ke dalam sungai dengan melontarnya melalui tingkap kenderaan itu.
Tindakan wanita itu dikecam pengguna media sosial yang mengkritik perbuatannya sebagai tiada kesedaran sivik sehingga sanggup membuang sampah secara terbuka ke dalam sungai.
-- BERNAMA
#buang sampah #dari kereta #kenderaan #wanita #Tular #Kelantan #denda #penjara #undang-undang #tiada kesedaran sivik
;