Buang persepsi ganja buat kita jadi kuat - Musa Hassan

Wan Syamsul Amly
Februari 19, 2016 15:00 MYT
MUSA HASSAN: Buang persepsi ganja buat kita jadi kuat - Gambar fail
Masyarakat diminta membuang sebarang persepsi mengenai ganja yang boleh menjadikan seseorang individu itu kuat atau lebih bertenaga.
Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata, ia hanya perasaan yang lahir selepas kesan ganja berkenaan bertindak ke dalam tubuh.
"Dari dahulu ada yang kata ganja menjadikan mereka kuat, hisap ganja tambah tenaga dan macam-macam versi mengenai kelebihan ganja.
"Apa yang buat mereka tahan lama atau tambah tenaga itu semuanya dadah. Ganja dan dadah itu sama sahaja. Jangan sempit pemikiran tentang ganja.
"Kajian perubatan juga sudah dibuat. Sesiapa yang menagih ganja boleh merosakkan pemikirannya. Ia adalah bahan yang membuatkan seseorang itu khayal," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Musa mengulas kenyataan Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Bahagian Pandan, Syed Rosli Jamalullail yang mahu kerajaan mempertimbangkan kebenaran untuk rakyat menggunakan ganja sekali gus meminda sebarang larangan undang-undang melibatkannya atau marijuana yang pernah dibuat sebelum ini.
Katanya, ganja jelas tidak menjadikan individu itu agresif atau hilang pertimbangan seperti yang berlaku kepada mereka yang mengambil alkohol berlebihan.
Kenyataan Syed Rosli turut mendapat reaksi Pengerusi Majlis Agama Negeri Johor (MAINJ), Datuk Dr Nooh Gadut yang menyifatkan penggunaan ganja sebagai penyelesai masalah tekanan kos sara hidup dilihat jalan singkat semata-mata untuk memenuhi matlamat yang menghalalkan cara.
Tegas Nooh, paling penting rakyat perlu sentiasa berkiblatkan Al-Quran dan Al-Sunnah jika mencari ketenangan selepas dibelenggu masalah tekanan hidup.
Dalam pada itu tegas Musa, kekeliruan yang ditimbulkan masyarakat tentang bahan memudaratkan sudah dijelaskan di dalam Al-Quran.
"Sudah terang benda-benda yang boleh merosakkan kesihatan dan minda walaupun diambil dalam jumlah yang kecil adalah haram.
"Ubat-ubat juga jika diambil tanpa preskripsi betul juga akan memudaratkan dan salah," ujarnya.
Musa turut mengulas kebenaran beberapa negara luar yang menghalalkan penjualan ganja di tempat mereka.
Katanya, sebagai contoh, di Belanda, ganja dianggap 'Soft Drugs' yang membawa kesan ketagihan melampau kepada pengambilnya.
"Namun harus diingat, ia tetap membawa risiko dalam masa panjang dan menjadikan seseorang itu mengalami kesan sampingan dalam satu tempoh waktu.
"Sebab itu kita ada Akta Dadah Merbahaya yang mengandungi undang-undang lengkap mengenai hal ini. Ia pencegahan yang dibuat untuk mengelakkan kerosakan pemikiran masyarakat akibat dadah," jelasnya.
#Dadah #ganja #Musa Hassan #Nooh Omar #Syed Rosli
;