Buang beras, tepung di tapak pelupusan sampah, bekas MP tampil beri penjelasan
Sinar Harian
April 19, 2024 14:00 MYT
April 19, 2024 14:00 MYT
SHAH ALAM: Tular satu rakaman yang memaparkan puluhan kampit beras, tepung dan sardin dibuang di tapak pelupusan sampah berdekatan laluan pintasan Rumpun Makmur, Kampung Gunung Senyum, Temerloh, Pahang pada Khamis.
Video itu menjadi perhatian apabila ia dimuat naik oleh beberapa pengguna media sosial di Facebook dan TikTok yang kebetulan menggunakan jalan berkenaan.
Rentetan daripada situasi tersebut, rata-rata netizen mula membuat andaian dan memberikan respons negatif kerana perkara berkenaan tidak sepatutnya berlaku.
Perbuatan tersebut dikatakan sebagai satu pembaziran disebabkan negara sekarang sedang mengalami masalah bekalan beras putih tempatan (BPT) dan kenaikan harga barang.
Tidak lama selepas itu, tular satu rakaman memaparkan beras, sardin dan tepung yang dibuang itu turut dibakar.
Namun, berdasarkan maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai, beras dan berapa makanan lain itu dibuang kerana sudah luput tarikh serta rosak akibat disimpan terlalu lama.
Dalam pada itu, pihak SWCorp akan adakan sidang media berhubung perkara tersebut sementara bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said tampil menjelaskan isu berkenaan.
Menurutnya, beras dan barangan dapur itu merupakan stok simpanan yang sentiasa disediakan bagi memenuhi permintaan orang ramai ketika beliau menjadi Ahli Parlimen Kuala Krau.
“Barangan dapur ini disediakan menggunakan peruntukan peribadi, sebelum tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022 dan umum mengetahui bahawa dalam tempoh berkempen, tiada sebarang pemberian barangan kepada orang awam dibenarkan.
“Pembelian barangan ini tidak melibatkan peruntukan kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri Pahang. Ia juga tidak melibatkan peruntukan barangan dalam tempoh COVID-19 atau persiapan pangkalan hadapan menghadapi banjir.
“Hasil siasatan di stor simpanan mendapati beberapa ekor bangkai tikus dan beras serta barangan dapur ini telah dicemari bubuk atau kutu beras. Barangan ini tidak lagi sesuai untuk diagihkan kepada orang ramai,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian pada Jumaat di tempat kejadian mendapati lambakan tersebut telah diratakan dipercayai dilakukan pada malam tadi.
Turut ditemui timbunan bihun yang dipercayai turut dibuang pada Khamis memiliki tarikh luput pada 31 Disember 2025. - Sinar Harian