Buang bayi: Tindakan pantas pegawai perubatan, selamatkan nyawa bayi baru lahir

Bernama
Julai 17, 2023 22:42 MYT
Tindakan pantas seorang pegawai perubatan Hospital Taiping yang membuat laporan polis, berjaya menyelamatkan nyawa seorang bayi yang baru dilahirkan selepas ditemukan di belakang sebuah rumah semalam. - Gambar hiasan
IPOH: Tindakan pantas seorang pegawai perubatan Hospital Taiping yang membuat laporan polis, berjaya menyelamatkan nyawa seorang bayi yang baru dilahirkan selepas ditemukan di belakang sebuah rumah dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Taiping ACP Razlam Ab Hamid berkata pihaknya telah menerima satu laporan daripada pegawai perubatan Hospital Taiping semalam, berhubung seorang wanita yang disyaki telah melahirkan anak dan dipercayai bertindak membuangnya dengan niat mahu menyembunyikan kelahiran tersebut.
Beliau berkata hasil siasatan dan tindakan pantas pihaknya, mereka kemudiannya berjaya menemukan seorang bayi yang masih bernyawa dengan ditutupi kain dan tuala, selain dihurung semut di belakang rumah wanita berusia 22 tahun itu, di sebuah perumahan di Taiping.
"Bayi tersebut telah dikejarkan ke Hospital Taiping dengan ambulans dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Taiping dan kini berada dalam keadaan stabil," katanya dalam kenyataan malam ini.
Razlam berkata ekoran insiden itu, pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu mendedahkan dan membuang kanak-kanak yang umurnya kurang daipada 12 tahun oleh ibu bapa atau penjaganya.
"Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara selama tempoh tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya," katanya dalam kenyataan, malam ini.
Razlam berkata hasil siasatan mendapati wanita itu belum berkahwin dan bekerja sebagai jurujual, dan kini sedang mendapatkan rawatan di hospital.
-- BERNAMA
#buang bayi #Polis Daerah Taiping #Hospital Taiping #bayi baru lahir
;