Buang bayi di masjid, nenek ditahan
Dewi Nur Harasha Alias
April 24, 2019 12:17 MYT
April 24, 2019 12:17 MYT
Seorang wanita ditahan selepas disyaki bersubahat bersama anak perempuannya membuang bayi di Masjid Lama Ara Kuda di Tasek Gelugor, pada Selasa.
Wanita berusia 57 tahun yang merupakan nenek kepada bayi malang itu ditahan di Hadapan Balai Polis Kulim Hi-Tech, Kulim Kedah kira-kira jam 1 pagi Rabu.
Walaubagaimanapun anak perempuan suspek yang berusia 28 tahun masih belum ditahan kerana sedang dirawat di Hospital Kulim akibat mengalami kompilasi bersalin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil soal siasat, suspek mengaku anak sulungnya terlibat dalam kes menyembunyikan kelahiran bayi perempuan tersebut.
Katanya suspek kemudiannya meminta anak perempuannya meninggalkan bayi tersebut di kawasan Masjid Ara Kuda, Tasek Gelugor.
Menurut Noorzainy, perbuatan mereka dikesan selepas anak suspek mendapatkan rawatan di klinik swasta kerana uri masih melekat dalam perut, kira-kira 3 petang, pada Selasa.
Doktor yang merawat mangsa di klinik itu kemudiannya merujuk kes berkenaan ke hospital kerajaan sebelum berjaya dikesan pihak polis..
Mengulas lanjut, Noorzainy berkata, ibu kepada bayi tersebut merupakan ibu tunggal kematian suami pada tahun 2015 dan mempunyai seorang anak perempuan berumur 6 tahun.
Katanya hasil siasatan lanjut, suspek mengakui bayi yang dibuang itu adalah hasil hubungan sulit anaknya.
Suspek direman di Mahkamah Butterworth hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Manakala suspek utama iaitu ibu kepada bayi perempuan tersebut akan ditahan reman oleh pihak polis selepas dibenarkan keluar dari Hospital.
Dalam kejadian jam 1.20 tengah hari semalam, seorang bayi perempuan ditemui dibalut kain batik ditinggalkan dalam kotak di belakang Masjid Lama Ara Kuda, Tasek Gelugor.
Bayi itu ditemui oleh seorang jemaah lelaki yang ingin menunaikan solat zohor yang kemudiannya menghubungi polis.