BTN perlu penjenamaan semula untuk kekal relevan - Azalina

Bernama
Januari 11, 2016 13:38 MYT
Azalina berkata, BTN perlu fokus kepada elemen patriostisme, dan mengurangkan ekstremisme. - Gambar fail
Biro Tata Negara (BTN) perlu melalui proses penjenamaan semula bagi memastikan pengisian ilmunya relevan kepada kumpulan sasaran terutamanya generasi muda.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata program BTN memerlukan banyak perubahan khususnya dari sudut pengisian yang relevan memandangkan kebanyakan sasaran peserta terdiri generasi muda.
"Kita harap dalam masa terdekat ini, kita akan buat penjenamaan semula supaya BTN ini fokus kepada anak muda di peringkat universiti, kolej atau sekolah.
"Bagaimanapun program ini juga harus ditumpukan kepada anak-anak muda lepasan universiti dan mungkin juga yang tidak masuk universiti tetapi terus bekerja," kata beliau kepada pemberita di sini petang semalam.
Terdahulu, beliau merasmikan Program Keselamatan Jalan Raya Pengerang 2016 di Dataran Sungai Rengit, Pengerang, dekat sini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat Datuk Syed Sis Abd Rahman dan Ketua Eksekutif Johor Petroleum Development Corporation Bhd (JPDC) Mohamad Yazid Jaafar.
Azalina berkata BTN juga perlu fokus kepada elemen patriotisme sebab generasi muda merupakan pewaris kepada negara, sekali gus mengurangkan elemen ekstremisme.
"Sehubungan itu, saya harap penjenamaan semula BTN khususnya pada sumberteras lebih kepada tanggungjawab bersama generasi muda sebagai pewaris kepada negara," kata beliau.
"Saya juga hendak menekankan bahawa 'kita Malaysia dahulu' tidak kira sama ada Melayu, Cina, India, orang Sabah atau Sarawak, itu perlu menjadi fokus kepada BTN," katanya.
#Azalina Othman #Biro Tata Negara #BTN #penjenamaan semula
;