BTN boleh bendung pengaruh Daish melalui pemerkasaan patriotisme rakyat
Bernama
Oktober 10, 2016 07:43 MYT
Oktober 10, 2016 07:43 MYT
Biro Tata Negara (BTN) berkeupayaan bertindak sebagai agensi pencegah untuk mengekang pengaruh Daish dengan pemerkasaan patriotisme rakyat melalui penjiwaan dan pemahaman Perlembagaan Negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.
Katanya walaupun BTN bukanlah agensi yang perlu berhadapan dengan hal berkenaan sepertimana Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan, namun ia mempunyai tanggungjawab untuk mewujudkan kekuatan serta ketahanan minda rakyat berhadapan gerakan tersebut.
Azalina berkata berdasarkan laporan, kelemahan mental adalah antara penyebab segelintir masyarakat didapati mudah dipengaruhi kumpulan pengganas apabila gerak saraf yang dilakukan berjaya menarik sokongan terhadap aktiviti Daish.
"Semangat patriotisme tinggi rakyat menjadi benteng pertahanan kepada gerakan minda yang dilakukan kumpulan pengganas dalam menarik sokongan," katanya dalam sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan BTN dan menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan selfie patriotik "Mypatriot 2016" sempena Hari Kebangsaan di sini pada Isnin.
Beliau berkata BTN sebagai agensi yang dekat dengan masyarakat perlu selangkah ke hadapan dalam merancang program dan kandungan kursus yang dijalankan untuk mendepani cabaran dan pengaruh Daesh terutamanya disebabkan perkembangan teknologi maklumat.
Azalina dalam pada itu berharap ujian pemahaman tentang Perlembagaan tidak hanya untuk perjawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) sebaliknya perlu diperluaskan kepada pengambilan jawatan lain dalam kerajaan.
Sebagai penjawat awam, katanya, mereka perlu mempunyai pemahaman sewajarnya tentang Perlembagaan agar setiap tindakan yang diambil tidak terkeluar dari apa yang telah digariskan.
Dalam pada itu, Abdul Ammar Mohd Rushi dinobatkan sebagai pemenang pertandingan selfie Mypatriot 2016, yang menarik penyertaan 2,500 peserta dalam pertandingan yang bermula 27 Mac hingga 4 Jun lepas, dengan membawa pulang hadiah berupa telefon bimbit Iphone 6S. -- BERNAMA