BSI tutup beberapa kaunter zon bas, laluan automatik mula esok

Sinar Harian
Disember 14, 2023 17:55 MYT
Keadaan sesak kaunter ketibaaan di BSI, Johor Bahru sebelum dapat dikawal, pada 11 November lalu. - Foto/ Unit Komunikasi dan Korporat Pejabat Imigresen BSI
JOHOR BAHRU: Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini akan menutup beberapa kaunter zon bas dan laluan automatik (sistem e-gate) bermula Jumaat selama sebulan untuk memberi laluan kerja-kerja menaik taraf.
Unit Komunikasi dan Korporat Pejabat Imigresen BSI memaklumkan, penutupan tersebut melibatkan tiga fasa di laluan keluar dan masuk kaunter bas terbabit dan proses itu dijadualkan selesai pada 15 Januari ini.
Jelas unit berkenaan, kaunter Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC) akan turut terjejas sepanjang tempoh berkenaan.
"Fasa pertama melibatkan kerja-kerja menaik taraf di laluan zon bas keluar dengan melibatkan kaunter manual 1 sehingga 4, laluan e-gate 1 sehingga 3 dan kaunter MDAC bermula esok.
"Fasa kedua melibatkan kaunter manual (11-18); laluan e-gate (1-6) pada 21 Disember manakala fasa ketiga melibatkan kaunter manual sahaja (3-12) pada 28 Disember," menurut unit berkenaan menerusi Facebook rasmi miliknya.
Unit tersebut memberitahu, bagi fasa pertama di laluan zon bas masuk pula melibatkan kaunter manual (1-4), laluan e-gate (1-3) dan kaunter MDAC bermula pada 28 Disember.
Fasa kedua di laluan zon bas masuk itu pula melibatkan kaunter manual (11-18) dan laluan e-gate (1-6) bermula 3 Januari 2023 sementara fasa ketiga hanya melibatkan kaunter manual (3-12) bermula 9 Januari.
Pihaknya turut memaklumkan permohonan kemudahan Sistem Kawalan Sempadan Automatik (M-Bike) kali pertama diberhentikan buat sementara waktu atas sebab tertentu dan pembukaan semula akan dimaklumkan kemudian.
Sistem e-gate di BSI dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Iskandar Puteri digunakan warga asing khususnya Singapura bermula 20 Januari lalu.
Kebenaran penggunaan sistem e-gate itu memberi manfaat kepada 50,000 warga republik itu yang berulang-alik ke Johor untuk tujuan sosial.
Sementara M-Bike pula yang dilancarkan di BSI dan KSAB bagi memudahkan secara purata lebih 60,000 penunggang dan pembonceng motosikal rakyat Malaysia berulang-alik ke Singapura atas urusan kerja. - Sinar Harian
#BSI #CIQ tembak johor #sebab tutup #Bangunan Sultan Iskandar
;