BSH kepada veteran tidak berpencen berita yang ditunggu-tunggu warga ATM
Bernama
Ogos 7, 2023 00:43 MYT
Ogos 7, 2023 00:43 MYT
KUALA LUMPUR: Pengumuman kerajaan mengenai Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM300 sebulan bagi Veteran Tidak Berpencen pada umur 60 tahun merupakan berita yang ditunggu-tunggu seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak sekian lama.
Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Datuk Sharuddin Omar berkata inisiatif itu dapat menambah pendapatan bulanan veteran untuk meneruskan kehidupan mereka yang telah banyak mencurahkan bakti kepada negara.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas inisiatif yang akan memanfaatkan lebih 41,000 veteran tidak berpencen ini," katanya kepada Bernama di sini pada Isnin.
Beliau berkata pengumuman itu juga selari dengan perjuangan PVATM yang menitikberatkan kebajikan veteran di seluruh negara.
Yang Dipertua Persatuan PVATM Perak Left Kol (B) Aminuddin Ab Karim melahirkan rasa gembira dengan pengumuman itu kerana terdapat ramai veteran ATM tidak mempunyai pendapatan tetap dan pekerjaan.
"Ini adalah berita yang amat baik kerana tidak semua mempunyai pendapatan tetap dan mempunyai pekerjaan pada umur yang kian senja ini...ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban yang ditanggungi pada setiap bulan," katanya.
Bekas anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja, Azman Senan, 65, bersyukur dengan pengumuman itu kerana beliau ketika ini hanya bergantung harap kepada tiga anaknya yang sudah bekerja dalam menyara kehidupan.
"Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana dapat membantu kami...saya amat memerlukan bantuan ini," katanya.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan hari ini berkata BSH sebanyak RM300 sebulan akan dipanjangkan bagi Veteran Tidak Berpencen pada umur 60 tahun berbanding sebelum ini yang hanya dinikmati pada umur 80 tahun, berkuat kuasa September ini.
Cadangan itu dipersetujui pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
-- BERNAMA