Brunei berminat jalani kerjasama dalam projek tukun tiruan Sarawak

Astro Awani
Jun 29, 2020 19:42 MYT
Pemasangan tukun tiruan di perairan Sarawak diteruskan setelah tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak Mac lalu. -Gambar Astro AWANI
Kerajaan Brunei menyatakan minat mereka untuk menjalani kerjasama dengan Sarawak melalui projek ‘Sarawak Reef Ball’.
Menurut Pengerusi Sarawak Forestry Corporation (SFC) merangkap Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh, negara jiran tersebut mahu terlibat sama dalam pemuliharaan ekosistem marin di perairan sekitar kedua-dua negara.
“Brunei berminat untuk terlibat secara langsung dalam projek ini di mana mereka ingin membiayai projek seperti ini.
“Sekiranya perkara ini direalisasikan, maka jajarannya akan menjadi lebih panjang merangkumi jarak 1,500 kilometer, sekali gus menjadikan projek tukun tiruan ini terpanjang di dunia,” katanya.
Ujar Len Talif, semenjak 2018, tukun pertama telah didaratkan di perairan pantai Belawai ke Paloh, seterusnya ke pantai Lawas, Igan ke Mukah dan kini disambung semula di perairan pantai Muara Tebas sehingga ke Sebuyau.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran penanaman tukun tiruan tersebut di Muara Tebas di Kuching pada Isnin.
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg turut hadir pada majlis tersebut sekali gus melancarkan penanaman 1,200 unit tukun tiruan bagi jarak jarak tersebut.
Untuk rekod, projek ‘Sarawak Reef Ball’ ini menelan belanja RM70 juta secara keseluruhannya.
#Astro Awani #AWANI Sarawak #Datu Len Talif #Datu Len Talif Salleh #Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg #Ketua Menteri Sarawak #Menteri Muda Perancangan Bandar Pentadbiran Tanah dan Alam Seki #Sarawak Reef Ball Project
;