Brunei Airlines kembali terbang ke Sarawak, perkukuh ekonomi dan pelancongan

Nuzuluddin Abdul Razak
April 29, 2022 14:18 MYT
Syarikat penerbangan Royal Brunei Arlines akan kembali melakukan penerbangan dari Brunei Darussalam ke Kuching dua kali seminggu bermula 1 Mei ini.
KUCHING: Syarikat penerbangan Royal Brunei Arlines akan kembali melakukan penerbangan dari Brunei Darussalam ke Kuching dua kali seminggu bermula 1 Mei ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin berkata, operasi syarikat penerbangan itu akan berpandukan prosedur baharu yang ditetapkan Menteri Kesihatan Malaysia (MOH) dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
“Kesemua pengembara yang sudah lengkap divaksin dan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dikecualikan daripada melakukan pra-ujian saringan COVID-19 dan semasa ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).
“Pengembara yang tidak lengkap atau tidak divaksin perlu melakukan ujian saringan dua hari sebelum berlepas dan ujian RTK-Antigen dalam tempoh 24 setelah tiba di LTAK, serta perlu menjalani kuarantin selama lima hari bermula 1 Mei 2022,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri itu turut menegaskan penggunaan MySejahtera adalah diwajibkan.
“Pengembara yang tiba dari Brunei perlu memuat turun aplikasi MySejahtera dan mengisi borang pelepasan selain memerlukan sijil vaksinasi COVID-19 bagi memudahkan urusan di Sarawak,” katanya.
Sementara itu, Kim Shin optimis, operasi itu adalah permulaan yang baik untuk mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua pihak selain meningkatkan peluang ekonomi, pelaburan dan aktiviti pelancongan di Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) dan negeri Sarawak khasnya.
Terdahulu Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak menjangkakan kemasukan pelancong ke Sarawak akan terus meningkat dengan anggaran purata sebulan seramai 76,550 kemasukan dan dijangka boleh mencapai 1.5 juta pelancong menjelang hujung tahun 2022.
#Royal Brunei Airlines #Kuching #dua kali seminggu #Menteri Pengangkutan Sarawak
;