BRN dan Kerajaan Thailand cari kata sepakat untuk proses damai

Hilmi Malik
Ogos 3, 2022 14:46 MYT
Terdapat beberapa lagi perkara yang perlu dipersetujui kedua-dua pihak selain tuntutan BRN untuk mendapati imuniti konsultasi awam di lapangan. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Sekretariat Rundingan Damai Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) masih mencari titik persetujuan bersama kerajaan Thailand berhubung krisis yang berlaku di Selatan Thailand.
Ketua Delegasi BRN, Anas Abdul Rahman bagaimanapun berkata, pertemuan antara BRN dan Kerajaan Thailand yang berlaku pada Isnin lalu menumpukan soal draf terma rujukan berkaitan konsultasi awam serta pengurangan tindakan kekerasan antara kedua-dua pihak.
“Perkara yang melibatkan konsultasi awam, mekanisme pemantauan dan mekanisme kumpulan kerja turut menjadi topik yang dibincangkan.
“Di samping itu, BRN dan Kerajaan Thailand turut membuat penilaian terhadap Inisiatif Damai Ramadan yang berlangsung pada 3 April sehingga 14 Mei lalu,” katanya dalam sidang media di ibu negara pada Rabu.
Mengulas lanjut, wujud beberapa lagi perkara yang perlu menjalani proses rundingan selain kedua-dua pihak perlu menandatangani setiap perjanjian yang bakal dipersetujui.
“Walaupun pembahasan perkara-perkara tersebut masih belum dapat kata sepakat, kedua-dua pihak sudah mendapat beberapa titik persamaan yang signifikan.
“BRN dan Kerajaan Thai telah bersetuju untuk membincangkan perkara itu dalam pertemuan teknikal yang diadakan dalam masa terdekat,” tambahnya.
Selain itu, BRN juga menuntut imuniti bagi pihaknya yang terlibat dalam aktiviti konsultasi awam di lapangan.
Sejak sekian lama puak pemisah menyifatkan orang Melayu beragama Islam di wilayah itu sudah diasimiliasikan secara paksa oleh Thailand dan menuduh pasukan keselamatan Thai melakukan kekejaman ketika itu.
Rundingan di antara kerajaan Thailand dan kumpulan pemberontak bermula pada 2013, bagaimanapun ia sering tergendala.
Pusingan terbaru rundingan berkenaan dimulakan semula pada 2019, yang membawa kepada rundingan damai rasmi dengan dibantu oleh Malaysia pada awal 2020.
Untuk rekod, proses rundingan seterusnya bakal diadakan kali keenam dan yang terbaharu dijalankan pada awal Ogos.
#Thailand #BRN #konsultasi awam #selatan thailand
;