Britain akan kerjasama dengan Malaysia lindungi kanak-kanak

Bernama
Jun 7, 2016 08:14 MYT
Richard Huckle (gambar) dikenakan hukuman penjara seumur hidup oleh sebuah mahkamah London hari ini kerana melakukan penderaan seksual terhadap 23 bayi Malaysia dan Kemboja. -Gambar fail
Britain menyuarakan kesediaannya untuk meningkatkan kerjasama antarabangsa dalam bidang perisikan jenayah dan dasar perlindungan kanak-kanak, termasuk dengan pihak berkuasa Malaysia.
Jurucakap Suruhanjaya Tinggi Britain berkata United Kingdom (UK) memandang dengan amat serius kes pedofilia dan kesalahan terhadap kanak-kanak.
"Sekiranya warga Britain melakukan kesalahan demikian tidak kira di mana sahaja di dunia, kami akan berusaha membawa pelakunya ke muka pengadilan dan memastikan mangsa mendapat perlindungan dan rawatan sewajarnya.
"Kerjasama antarabangsa sangat penting dalam hal ini.
"Libat urus kami dengan pihak berkuasa Malaysia dalam kes Richard Huckle sejak 2014, mencerminkan perkara itu. Penjenayah tidak mengenal sempadan negara," kata jurucakap itu kepada Bernama dalam kenyataan, di sini pada Isnin.
Pedofil warga Britain, Richard Huckle dikenakan hukuman penjara seumur hidup oleh sebuah mahkamah London hari ini kerana melakukan penderaan seksual terhadap 23 bayi Malaysia dan Kemboja serta kanak-kanak lain dalam tempoh hampir satu dekad.
Reuters melaporkan, Huckle, 30, dikenakan 22 hukuman penjara seumur hidup dan akan merengkok di dalam penjara sekurang-kurangnya 23 tahun kerana jenayah yang dilakukannya terhadap mangsa daripada keluarga miskin berusia enam bulan hingga 11 tahun.
Huckle mengaku melakukan 71 kesalahan dan didapati menyimpan lebih 20,000 imej lucah berkaitan kanak-kanak di dalam komputer dan kameranya ketika dia ditangkap di Lapangan Terbang Gatwick pada 2014.
Sementara itu, James Traynor dari Markas Eksploitasi Kanak-kanak dan Perlindungan Dalam Talian (CEOP), Agensi Jenayah Kebangsaan (NCA) UK, berkata NCA berusaha menjejaki Huckle dan menghentikan jenayah yang dilakukannya itu dengan menggunakan Seksyen 72 undang-undang.
Seksyen itu membenarkan warga UK didakwa di UK bagi kesalahan yang mereka lakukan di luar negara.
"Richard Huckle mengambil masa beberapa tahun untuk bergaul dengan masyarakat tempat dia menetap, hingga dia menjadi seorang tokoh yang dipercayai. Tetapi, dia menyalahgunakan kepercayaan itu dengan cara yang amat jelik.
"Dia sengaja mengembara ke bahagian dunia yang dia fikir dia boleh mendera kanak-kanak lemah tanpa ditangkap...Sempadan tidak menjadi halangan - tekad kami ialah mereka yang pergi ke luar negara untuk mendera kanak-kanak akan dikehendaki bertanggungajwab mengenai perbuatan seperti itu," katanya.
NCA menerajui penguatkuasaan undang-undang UK dalam memerangi jenayah serius dan terancang.
Agensi itu mempunyai capaian di peringkat nasional dan antarabangsa serta kuasa untuk bekerjasama dengan organisasi penguatkuasaan undang-undang lain dalam melaksanakan sepenuhnya undang-undang dalam usaha menyekat jenayah serius dan terancang.
Baru-baru ini, media Britain melaporkan bahawa Huckle, 30, seorang jurufoto bebas, mungkin telah mendera hingga 200 kanak-kanak berusia enam bulan hingga 12 tahun dari 2006 hingga 2014.
Sebanyak 91 pertuduhan dikenakan terhadapnya dan kebanyakan mangsanya adalah daripada golongan miskin di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, penjenayah ini mengaku bersalah terhadap 71 daripada pertuduhan itu.
#richard huckle #Suruhanjaya Tinggi Britain #United Kingdom
;