Briged Bakti Malaysia didik anak gelandangan mengaji
Bernama
Februari 7, 2018 06:20 MYT
Februari 7, 2018 06:20 MYT
Melihat kesempitan hidup dilalui golongan gelandangan tentu ramai yang terpanggil memberi bantuan keperluan harian termasuk makanan, minuman dan pakaian.
Namun bagi Briged Bakti Malaysia (BBM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dengan pelbagai aktiviti kesukarelawanan merasakan bantuan berupa barangan hanya bersifat sementara.
Presidennya, Prof Datuk Dr Abdul Razak Kechik berkata BBM komited menyantuni golongan gelandangan di ibu kota sejak tiga tahun lepas dengan memberi mereka ilmu untuk dimanfaatkan seterusnya keluar dari kepayahan hidup di jalanan.
"Jika asyik bagi makan, minum makin ramai yang berminat jadi gelandangan kerana tidak payah fikir bagaimana mahu hidup kerana mudah dapatkan makan dan perhatian dengan hanya jadi gelandangan.
"Sebenarnya mereka ini perlu dibantu dari segi emosi dan mind set agar tidak berterusan hidup berpeleseran tanpa tujuan. Mereka bukan seorang tetapi ada anak dan isteri yang turut terabai dan ikut jejak mereka," katanya kepada Bernama pada program menyantuni golongan gelandangan di sini malam tadi.
Seramai lebih 70 gelandangan yang menyertai program berkenaan yang diisi dengan pelbagai aktiviti pendidikan seperti kelas mengaji al-Quran dan fardhu ain yang diadakan pada setiap Rabu malam.
Abduk Razak berkata BBM berusaha untuk menarik minat golongan berkenaan dengan ilmu terutama anak-anak mereka yang masih kecil dalam lingkungan usia lima hingga belasan tahun.
"Kita kumpulkan anak-anak ini untuk mengaji dan belajar agama supaya tidak terus menjadi mangsa masalah sosial dan dipengaruhi gejala buruk terutama sewaktu ibu atau bapa mereka bekerja di waktu malam.
"Kami sedih dan risau melihat ada yang turut mengikut jejak langkah ibu bapa yang bekerja di lorong gelap kerana tiada bimbingan. BBM percaya penekanan pendidikan agama mampu hindari mereka daripada unsur negatif," katanya.
Seorang anak gelandangan berusia lapan tahun dikenali sebagai Fikah berkata dia seronok kerana berpeluang mengaji seumpama pergi sekolah.
"Dulu tak tahu baca tapi sekarang boleh mengaji dan belajar solat dengan kawan-kawan. Hari Rabu mesti saya minta emak hantar ke sini belajar," katanya. -- Bernama