BRICS: Penyertaan Malaysia tidak kurangkan peranan dalam OIC dan NAM - Mohamad
Syafik Shukri Jalil
November 27, 2024 16:47 MYT
November 27, 2024 16:47 MYT
KUALA LUMPUR: Penyertaan Malaysia dalam kumpulan BRICS yang melibatkan Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan sebagai rakan tidak mengurangkan peranan negara dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).
Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, penyertaan negara dalam kerangka multilateral itu akan membolehkan ekonomi negara terus berkembang dan negara tidak perlu bergantung kepada pasaran tradisionalnya semata-mata.
"Dalam BRICS ini tidak pula kita mencairkan peranan kita dalam OIC, tidak mengurangkan peranan kita dalam NAM, tidak mengurangkan peranan kita dalam APEC.
"Baru-baru ni kita dijemput sebagai negara yang hadir di APEC dan juga G20, dan kita sebagai tetamu kepada kerajaan Brazil. Kita bersuara tentang (isu) yang sama iaitu betapa jurang antara negara-negara maju dengan negara selatan global ini amat ketara sekali.
"Apa peranan negara-negara maju untuk membantu, daripada mereka menuding jari, mereka patut bersama-sama untuk menguruskan (isu) perubahan iklim ataupun pemanasan global ini.
"Menjawab kepada Pulai, (peranan) kita tidak kurang dan ia akan menambah luas lagi (hubungan) terutamanya dalam bidang ekonomi,’’ katanya.
Mohamad berkata demikian sebagai menjawab kepada soalan tambahan daripada Suhaizan Kaiat (PH, Pulai) dan Ahmad Fadhli Shaari (PN, Pasir Mas) berkenaan impak pembabitan negara ke dalam BRICS.
Malah ujarnya, dengan peranan Malaysia sebagai rakan BRICS, ia akan membantu negara untuk terus bersuara dalam isu-isu berkepentingan global seperti perubahan iklim yang ketika ini banyak menjejaskan negara selatan global.
"... untuk kita kita bersuara lebih sebagai negara selatan global kerana perbezaan antara negara-negara maju dengan negara selatan global begitu besar.
"Terutama dalam kita punya (agenda) Sustainable Development Goal (SDG) dalam kita (agenda menangani) perubahan iklim.
"Baru-baru ini dalam COP 29 sepatutnya kita dapat sumbangan daripada negara maju yang telah memusnahkan alam sekitar mereka seratus tahun dahulu sepatutnya sumbangan mereka 1 trilion dolar Amerika tetapi mereka hanya bagi AS$300 bilion dolar sahaja ini suatu perkara yang amat kita kesali,’’ tambahnya.