BRICS: Malaysia tidak mahu terlalu condong kepada satu pihak - Menteri Luar
Hasimi Muhamad
Jun 27, 2024 11:00 MYT
Jun 27, 2024 11:00 MYT
KUALA LUMPUR: Hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS adalah kerana melihat kesatuan ekonomi itu satu landasan yang tidak terlalu condong kepada sebelah pihak sahaja.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kemasukan Malaysia ke BRICS yang dipelopori oleh negara Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan juga, boleh mengangkat suara negara ke pentas dunia.
Jelasnya, Malaysia berpendirian melihat ke arah mewujudkan sebuah dunia multipolar.
"(BRICS) blok yang bukan berasaskan pertahanan, tetapi satu blok yang longgar untuk memastikan negara ini tidak menjadi kuasa yang besar, yang menguasai dunia. Kita tak mahu itu berlaku.
"Kita nak lihat dunia macam dulu semula. Nampak sekarang 'we are slowly but surely' (untuk) masuk ke era perang dingin semula. Sama ada anda bersama kami atau tidak, itu tidak boleh.
"BRICS merupakan satu pentas yang besar dan ini merupakan satu yang baik," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Mohamad (BN-Rembau) menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang berpandangan Malaysia perlu 'mengetuk pintu' Moscow dan mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan Rusia dalam usaha untuk menyertai BRICS.
BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun merangkumi Brazil, Rusia, India dan China, dengan Rusia mengambil alih jawatan presiden pada 1 Januari tahun ini.
Mengulas mengenai pertanyaan bilakah Malaysia akan mengadakan kunjungan rasmi ke Moscow pula, Mohamad berkata Malaysia perlu berhati-hati dalam memposisikan negara walaupun negara mempunyai hubungan baik dengan banyak negara termasuk Rusia dan China.
Jelas beliau, ini kerana lawatan rasmi Perdana Menteri atau Menteri Luar dianggap sebagai satu pengiktirafan kepada hubungan luar negara.
"Nasihat Kementerian Luar kepada Perdana Menteri supaya kita teliti setiap satu jemputan itu dengan hati-hati supaya kita tidak mahu terjerumus nanti dalam politik dunia yang lebih kompleks yang memberi masalah kepada hubungan dengan negara-negara lain.
"Kementerian Luar melalui perbincangan kita nak memposisikan Malaysia sebagai 'middle state' dan tidak mahu dilihat condong ke mana-mana.
"Kita sebuah negara berdagang dan kita tidak mahu dilihat kepada kanan atau kiri," ujarnya.