Brickfields, PJ teratas kes samun pecah cermin kereta
Aizat Sharif
Januari 23, 2013 12:18 MYT
Januari 23, 2013 12:18 MYT
Amaran kepada pemandu wanita sekitar Brickfields dan Petaling Jaya kerana kawasan ini bukan calang-calang kawasan.
Kedua-duanya dikenalpasti sebagai dua daerah di Lembah Klang yang mencatatkan rekod paling tinggi kes samun pecah cermin kereta dari Januari hingga November tahun lepas.
Di daerah Brickfields misalnya, sebanyak 62 kes direkodkan.
Manakala di Petaling Jaya, sebanyak 70 kes dicatatkan.
KHAIRI: Kebanyakkannya berpunca dari kealpaan
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa berkata kebanyakkan kejadian yang berlaku selalunya berpunca dari kealpaan dari pihak pemandu kereta itu sendiri.
Ini terutamanya kaum wanita yang sering meletakkan barangan berharga mereka seperti beg tangan, kamera dan komputer riba di tempat duduk penumpang hadapan.
“Jenayah ini sering terjadi apabila wujudnya peluang yang secara tidak sedarnya ‘dihidangkan’ oleh mangsa sendiri. Ini berlaku, apabila barangan berharga ini diletakkan sebelah tempat duduk pemandu dan ianya terdedah kepada penjenayah bermotosikal untuk bertindak memecahkan cermin kereta mangsa,” kata Khairi.
Kereta yang dipecah masuk oleh peragut
Meskipun, Brickfields dianggap sebagai ‘lokasi panas’ untuk penjenayah, ianya tidak bermakna daerah lain tidak terasa bahangnya.
Kes turut menunjukkan peningkatan di daerah lain.
Di Kuala Lumpur sahaja terdapat empat lagi daerah yang kerap mencatatkan laporan jenayah pecah samun pecah kereta ini.
“Sepanjang tempoh Januari hingga November 2012, sebanyak 133 kes jenayah samun pecah cermin kereta direkodkan. Kecuali Putrajaya yang tiada mencatatkan perlakuan jenayah ini, daerah-daerah seperti Sentul, Cheras dan Dang Wangi banyak merekodkan jenayah seperti ini.
Sebagai contoh, Cheras mencatatkan 40 kes, Sentul 26 kes dan Dang Wangi hanya berlaku lima kes sahaja dari tempoh Januari hingga November tahun ini,” tegas beliau.
Antara persimpangan lampu isyarat yang sering menjadi sasaran penjenayah ini di kawasan Kuala Lumpur adalah seperti di persimpangan lampu isyarat Jalan Tun Razak (Dang Wangi), Bukit Jalil, Sungai Besi, Bandar Tun Razak dan Taman Maluri (Cheras) dan Jalan Duta dan Batu 2 ½ di Jalan Ipoh (Sentul).
Di daerah Brickfields pula, antara persimpangan lampu isyarat yang dikenal pasti sebagai ‘lokasi panas’ untuk jenayah ini adalah di Jalan Maarof, Jalan Burhanuddin Helmi di Taman Tun Dr Ismail, Jalan Travers, Jalan Kuchai Lama, Sri Hartamas, Taman OUG dan Taman Gembira.
Jenayah samun pecah cermin kereta juga tidak terkecuali dari negeri Selangor apabila sebanyak 125 kes dicatatkan sepanjang tempoh yang sama sehingga November tahun 2012.
MOHD ADNAN: 14 daerah lain turut jadi tumpuan kes samun
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd Adnan Abdullah berkata dari 14 daerah pentadbiran polis di Selangor, hanya sembilan daerah jumlah tersebut 70 kes sahaja bertumpu di daerah Petaling Jaya diikuti daerah-daerah lain seperti Ampang (25 kes), Gombak (9 kes), Klang Selatan (6 kes) Subang Jaya (5 kes), Kajang (4 kes), Shah Alam (2 kes), Klang Utara (2 kes) dan Serdang (2 kes).
“Jika dilihat dari pecahan kes tersebut dapat dikatakan di sini, jenayah ini tidak hanya tertumpu pada satu-satu kawasan sahaja dan sebaliknya ianya bertaburan namun lebih menfokuskan daerah-daerah besar terutamanya Petaling Jaya dan Ampang,” kata Mohd Adnan.
Malah, di daerah Ampang sendiri terdapat beberapa lokasi persimpangan lampu isyarat yang sering menjadi lokasi jenayah ini seperti di Taman Melawati, Pandan Indah, Ampang Point, Bukit Teratai dan Taman Kencana.
Persimpangan lampu isyarat dikenalpasti paling mudah jenayah samun berlaku.
Kebanyakkan jenayah ini berlaku di persimpangan lampu isyarat dan antara waktu aktif jenayah ini terjadi adalah selalunya sekitar jam 4 petang sehingga 8 malam dan 6 pagi hingga 11 pagi dimana waktu-waktu ini adalah waktu puncak warga kota menuju ke pejabat dan pulang ke rumah.
Modus operandi atau taktik yang digunakan oleh penjenayah sangatlah mudah dimana mereka selalunya akan menunggu sasaran mereka di persimpangan lampu isyarat.
Penjenayah selalunya bergerak secara berdua menggunakan motosikal dan antara senjata yang selalunya digunakan untuk memecah cermin kereta mangsa adalah seperti palam pencucuh motosikal, tukul besi dan topi keledar.
Penjenayah akan samada melontar palam pencucuh ke cermin sisi tempat duduk penumpang hadapan kereta mangsa menggunakan alatan yang seperti lastik atau menghentak cermin kenderaan menggunakan penukul atau helmet sebelum melarikan barang yang diletakkan di atas tempat duduk penumpang hadapan.
Mangsa selalunya tergamam dan tidak mampu melakukan apa-apa dan ianya memudahkan lagi tindakan penjenayah untuk melarikan barangan berharga mangsa.
Kecuaian dalam meletakkan barangan berharga di tempat duduk penumpang hadapan dan membiarkannya terdedah mejadikan 90 peratus pemandu wanita lebih cenderung menjadi mangsa berbanding lelaki.