BRI: Malaysia komited pastikan situasi menang-menang, projek beri faedah optimum
Bernama
Oktober 18, 2023 04:00 MYT
Oktober 18, 2023 04:00 MYT
BEIJING: Malaysia komited memastikan projek infrastruktur di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) akan memberi faedah optimum kepada negara dan mampu menjadi pemangkin ekonomi untuk jangka panjang.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata momentum kemajuan negara juga harus seiring dengan pertumbuhan serta strategi BRI China yang membawa prinsip kebersamaan dan kemakmuran bersama.
"Sebarang kerjasama mesti membawa kepada situasi menang-menang dan bukan sebelah pihak sahaja yang dapat keuntungan manakala sebelah lagi berada dalam situasi berhutang, kita tidak mahu keadaan seperti itu.
"Hubungan kita (Malaysia dengan China) memang konstruktif, walaupun kita dah memeterai kerjasama bagi projek BRI ini tetapi dari semasa ke semasa, kita sentiasa berunding dan minta supaya projek ini pada akhirnya mesti memberi manfaat kepada negara," katanya kepada Bernama pada Forum Ketiga Bagi Kerjasama Antarabangsa BRI di sini pada Rabu.
Loke merupakan antara penceramah bagi sesi bertema 'Kesalinghubungan dalam Ekonomi Terbuka Global' yang diadakan sempena forum itu.
Pada sesi itu, Loke berkata projek utama BRI akan menjadi pencetus perubahan kepada prestasi kesalinghubungan dan logistik apabila Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) siap menjelang 2027.
Beliau berkata kawasan baharu pembangunan di sepanjang koridor ECRL akan menjadi destinasi pelaburan yang menarik kepada pelabur tempatan dan luar.
"Memanfaatkan kejayaan ECRL, banyak yang boleh dilakukan bagi projek berkaitan peralihan tenaga rendah karbon dan pembangunan mampan dalam tempoh 10 tahun akan datang," katanya.
Loke berkata meskipun infrastruktur fizikal tidak dinafikan adalah penting, kuasa kesalinghubungan tidak harus diabaikan melalui pertukaran teknologi, piawaian, peraturan dan amalan terbaik operasi.
"Era digital telah membawa era baharu dalam pengangkutan dan logistik dengan data masa nyata, sistem pintar serta platform digital mempunyai potensi untuk merevolusikan kecekapan dan kemampanan.
"Bersama-sama, Malaysia dan China mempunyai peluang unik untuk menjadi peneraju dalam bidang ini," katanya.
-- BERNAMA