Brexit tidak kurangkan komitmen Britain terhadap keselamatan ASEAN - Duta

Bernama
April 20, 2017 10:06 MYT
Victoria Treadell (dua kiri) ketika menghadiri persidangan meja bulat anjuran Institut Penyelidikan ASEAN CIMB dan Kelab Perniagaan ASEAN di Kuala Lumpur, hari ini, 20 April 2017. --fotoBERNAMA
Langkah Britain keluar daripada Kesatuan Eropah (Brexit) tidak akan mengurangkan komitmen negara itu terhadap aspek keselamatan di ASEAN, kata Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia Victoria Treadell.
Beliau berkata Britain, sebagai sebahagian daripada Perjanjian Pertahanan Lima Kuasa yang termasuk Malaysia, Singapura, Australia dan New Zealand, telah menghantar aset pertahanan mereka ke rantau ini, setiap tahun, bagi tujuan latihan dengan Malaysia dan Singapura.
"Dengan keadaan geopolitik semasa di rantau ini seperti Laut China Selatan dan Sabah, sumbangan Britain tidak akan berkurangan," katanya pada persidangan meja bulat mengenai "Pengajaran daripada Brexit - Risiko dan Peluang bagi ASEAN" di sini hari ini.
Beliau berkata, sebaliknya, negara akan meningkatkan sokongannya terhadap aspek pertahanan dan keselamatan rantau ini dengan menempatkan aset pertahanan terkininya.
Persidangan meja bulat itu, dianjurkan oleh Institut Penyelidikan ASEAN CIMB dan Kelab Perniagaan ASEAN, membincangkan mengenai pengalaman penyertaan Britain dalam Kesatuan Eropah dan pengajaran yang boleh diperoleh daripada pemisahan negara itu daripada blok ekonomi tersebut. -- BERNAMA
#ASEAN #Brexit #Kesatuan Eropah #keselamatan