Brek rosak, lori rempuh 16 kereta lain

Adie Sufian Zulkefli
Mei 15, 2018 12:25 MYT
Keadaan jalan yang sesak dengan deretan kenderaan ketika itu menyebabkan lori terbabit telah melanggar kesemua kenderaan.
Kegagalan brek sebuah lori berfungsi dengan baik mengakibatkan pemandunya gagal mengawal kenderaan berat itu lalu merempuh 16 kenderaan yang sedang berhenti menunggu lampu isyarat di Jalan Simpang Kuala, Alor Setar di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang tadi, itu berlaku apabila sebuah lori yang turun daripada jejambat dari arah Jalan Alor Mengkudu menghala ke Jalan Kuala Kedah.
Bagaimanapun sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, pemandu lori telah bertindak menekan hon bagi memberi isyarat supaya kenderaan yang berada di hadapan mengelak ke bahu jalan.
Keadaan jalan yang sesak dengan deretan kenderaan ketika itu menyebabkan lori terbabit telah melanggar kesemua kenderaan.
Dalam kejadian itu, tiga lelaki dan tiga wanita dipercayai tersepit di dalam kenderaan masing-masing.
Bagaimanapun, kesemua mangsa berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba yang bertindak memotong bumbung kenderaan mereka.
Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Mohd Rozi Jidin mengesahkan kejadian dan pemandu lori terbabit kini ditahan untuk direkod keterangan.
#Alor Setar #bomba #cedera #Hospital #Kedah #kemalangan #kemalangan lori #kenderaan #Lori #mangsa #wanita