Brek gagal berfungsi, pemandu treler temui ajal

Adie Sufian Zulkefli
Disember 22, 2018 21:58 MYT
Lori yang dipandu mangsa hilang kawalan sewaktu menuruni curam bukit lalu terbabas ke kiri bahu jalan.
Akibat brek gagal berfungsi, seorang pemandu lori treler maut apabila kenderaan yang dipandunya terbabas lalu terbalik di Jalan Sungai Terap dekat Kulim, Kedah petang Sabtu.
Kejadian berlaku pada jam 3.30 petang ketika mangsa Mohd Rozaihan Abdul Rahman, 27 tahun, dalam perjalanan dari Sungai Tengas ke Terap untuk menghantar barang.
Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, lori yang dipandu mangsa hilang kawalan sewaktu menuruni curam bukit lalu terbabas ke kiri bahu jalan.
Mayat mangsa kemudiannya dikeluarkan oleh anggota bomba yang terpaksa memotong pintu kerana tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ahmad Nasser Jaafar memaklumkan, mangsa maut di tempat kejadian ekoran mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.
Mayat mangsa kemudiannya di hantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkitan Jalan (APJ) 1987.
#brek #Jalan Sungai Terap #Kulim #maut #Mohd Rozaihan Abdul Rahman #pemandu treler #Sungai Tengas #Terap #terbabas #terbalik
;