BR1M diperluas bantu tangani kos sara hidup

Bernama
April 28, 2015 14:37 MYT
Jumlah BR1M juga dinaikkan daripada RM500 kepada RM650 bagi isi rumah berpendapatan RM3,000 sebulan atau kurang.
Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) baharu sebanyak RM450 telah diperkenalkan bagi isi rumah berpendapatan melebihi RM3,000 hingga RM4,000 sebulan pada tahun lepas bagi menangani kos sara hidup rakyat.
Menurut Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2014 yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri, jumlah BR1M juga dinaikkan daripada RM500 kepada RM650 bagi isi rumah berpendapatan RM3,000 sebulan atau kurang.
"BR1M bagi individu berumur 21 tahun ke atas yang memperoleh pendapatan RM2,000 sebulan atau kurang dinaikkan daripada RM250 kepada RM300," menurut laporan itu.
Menurut laporan berkenaan, program BR1M telah dipelbagaikan merangkumi program Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia (i-BR1M) yang membekalkan perlindungan insurans sehingga RM30,000 kepada semua penerima BR1M sekiranya berlaku kematian atau kehilangan upaya secara kekal.
Di bawah program ini, kerajaan menyumbangkan RM50 kepada i-BRIM.
Laporan itu juga menyebut, bantuan turut diberikan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah melalui Program Bantuan Kembali ke Sekolah sebanyak RM100, serta Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) bernilai RM250 kepada pelajar mendaftar di setiap institusi pengajian tinggi.
Sementara itu, sebanyak 36 buah Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) telah ditambah di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak pada 2014 menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 161 buah yang ada ketika ini.
Melalui GTP 2014, sejumlah 51 Klinik 1Malaysia (K1M) baharu telah dibuka menjadikan kini terdapat lebih 307 K1M di seluruh negara yang telah memberikan 15,777,194 rawatan asas seperti luka, demam dan selesema kepada rakyat.
Bagi memastikan hidangan berkualiti dengan harga berpatutan, sebanyak 578 kedai makan di seluruh negara telah menyertai program Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M) yang mengekalkan harga sarapan pagi dan makan tengah hari masing-masing pada RM2 dan RM4.
Menurut laporan itu juga, peluasan jangkauan telah dijadikan keutamaan penting dalam Bidang Utama Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Menangani Kos Sara Hidup (COL) dan akan diteruskan pada tahun ini.
Justeru, kerajaan akan menaikkan jumlah pemberian BR1M kepada RM950, RM750 dan RM350 mengikut jumlah pendapatan isi rumah dan individu.
Selain itu, 25 KR1M dan 40 K1M akan ditambah serta pemberian insentif Kembali Ke Sekolah akan diteruskan juga pada tahun ini.
#BR1M #ETP #gtp #Najib Razak