BR1M dikatakan rasuah kerana ia tidak diberikan secara bersyarat - Pakar ekonomi

Cynthia Ng
Januari 15, 2017 22:08 MYT
Agihan BR1M perlu berpandukan mekanisme secara bersyarat bagi mengelak ia dipalit persepsi sebagai satu bentuk rasuah. - Gambar fail
Agihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) perlu berpandukan mekanisme secara bersyarat bagi mengelak ia dipalit persepsi sebagai satu bentuk rasuah.
Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Yusof Saari berkata, BR1M adalah satu mekanisme bantuan yang sangat baik dan dipraktikkan di negara-negara maju, tetapi ia perlu diberikan dalam bentuk bersyarat.
"Kenapa boleh dikatakan rasuah? Ini kerana ia tidak bersyarat. Jadi orang yang menerimanya hanya terima tanpa membuat apa-apa," katanya apabila mengupas isu pendekatan mampan agihan BR1M di Hari Ini 8.
Katanya, bentuk bersyarat dilihat lebih baik kerana ia didorong produktiviti dan membantu isu rumah untuk memperbaiki taraf hidupnya.
"Sebagai contoh, kalau isu rumah mempunyai anak-anak bersekolah, BR1M boleh diteruskan jika anak-anak mencatat kehadiran dan pencapaian yang baik."
"Ia lebih produktif kerana mereka bukan duduk sahaja dan menerima BR1M," jelasnya.
Tambahnya, ada di kalangan penerima BR1M yang tidak ada niat untuk meningkatkan taraf hidup mereka kerana mahu kekal mendapatkan bantuan BR1M.
"Sekarang, ada isi rumah yang tidak ada niat untuk tingkatkan taraf hidup kerana kalau pendapatannya melebihi aras BR1M, maka tidak dapat lagi (bantuan)," katanya.
Dr Mohd Yusof berkata, setiap isu rumah mempunyai keperluan berbeza dan justeru, perlu ada mekanisme yang lebih tersasar.
"Setiap isu rumah, keperluannya berbeza-beza. Contohnya kalau di bandar, BR1M mungkin boleh membantu dalam bentuk subsidi sewa rumah dan bayaran ansuran. Di kawasan lain, keperluannya berbeza pula, mungkin dari segi makanan," ujarnya.
#BR1M #Dr Mohd Yusof Saari #UPM
;