BR1M bukan untuk beli undi - PM
Bernama
Februari 25, 2018 12:27 MYT
Februari 25, 2018 12:27 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkongsi asal usul pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berikutan terdapat pelbagai tohmahan daripada pihak pembangkang termasuk bertujuan membeli undi.
Bercakap di hadapan kira-kira 2,000 penerima, beliau berkata bantuan itu dicadangkan oleh Bank Negara Malaysia yang bukan bersifat kepartian politik dalam usaha membolehkan kaedah subsidi bersasar dilakukan.
"Subsidi ini (bersasar) adalah lebih baik daripada subsidi pukal yang banyak ketirisan. Sebagai contoh, mungkin mereka yang menerima subsidi ini menjualnya di sempadan.
"Keduanya, orang yang sepatutnya menerima subsidi secara relatifnya mendapat kurang berbanding orang yang tinggi kemampuan, contohnya Petrol RON95, orang berkereta besar mendapat manfaat lebih daripada mereka yang memandu Proton Saga atau Myvi," katanya pada majlis pelancaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) peringkat kebangsaan di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.
-- BERNAMA
#Bank Negara Malaysia
#bersasar
#BR1M
#kepartian
#Najib Razak
#pembangkang
#petrol
#politik
#RON95
#subsidi