Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata wang untuk membayar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukanlah daripada sumber curi, sebaliknya merupakan hasil rasionalisasi subsidi serta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Najib berkata pemberian BR1M juga bukan untuk tujuan politik dan penerima dinilai berdasarkan pendapatan bulanan isi keluarga.

"Orang yang kaya lebih banyak mendapat faedah dari subsidi pukal manakala kutipan GST lebih banyak dari Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kerana orang kaya yang bayar lebih banyak GST kerana perbelanjaan mereka lebih dan lebih penting, GST mengurangkan pengelakkan cukai, mengurangkan aliran dana haram dan mengutip cukai daripada ekonomi 'gelap'," katanya dalam catatan di laman Facebook pada Sabtu.

Menurut Najib, hasil cukai itu dikembalikan kepada golongan B40 menerusi BR1M, dan jumlahnya bertambah berikutan pendapatan ekonomi Malaysia yang semakin baik.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam bahawa jumlah wang pemberian BR1M akan dikurangkan secara berperingkat sebelum dihapuskan.

-- BERNAMA