BR1M 3.0 tidak sulitkan penerima muflis
Astro Awani
Januari 14, 2014 10:41 MYT
Januari 14, 2014 10:41 MYT
Langkah terbaru kerajaan memperkenal sistem pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia 3.0 (BR1M 3.0) tidak akan menyulitkan penerima yang diisytihar muflis.
Sebaliknya kerajaan mengambil inisiatif membuat pembayaran tunai melalui pejabat daerah bagi golongan berkenaan.
Selain golongan muflis, mereka yang sukar membuka buku akaun kerana terlantar sakit dalam tempoh lama atau tidak mempunyai jalur pada ibu jari juga akan dipertimbang menerima pembayaran bantuan secara tunai.
Penerima baharu yang layak digesa agar segera mengisi borang permohonan sebelum tarikh akhir pada 31 Januari ini.
Ketika ini masih terdapat dua juta pemohon daripada 7.9 juta rakyat layak menerima BR1M 3.0 yang belum membuka akaun bank.
Penerima yang melewat-lewatkan proses pendaftaran berdepan kemungkinan tidak memperoleh perlindungan insurans i-BR1M.
Penerima bantuan turut diminta mengemas kini data peribadi seperti alamat, nombor akaun dan status perkahwinan.