BR1M 2.0 untuk bantu rakyat berpendapatan rendah
Bernama
Februari 8, 2013 14:55 MYT
Februari 8, 2013 14:55 MYT
Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M 2.0) adalah usaha berterusan kerajaan Barisan Nasional (BN) meringankan beban rakyat berpendapatan rendah, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Richard Riot.
Anggota parlimen Serian dan timbalan presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) itu berkata selain BR1M kerajaan membelanjakan RM831,000 untuk 3,582 penerima yang layak mendapat bantuan bulanan di kawasan parlimen Serian.
"Kerajaan BN amat prihatin, selain BR1M 2.0, kerajaan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak turut memberi bantuan bulanan kepada mereka yang layak, antara bantuan itu ialah bantuan kanak-kanak, bantuan orang tua, elaun orang kurang upaya (OKU), elaun penjagaan OKU dan bantuan am.
"Inilah hasrat kerajaan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang amat prihatin dan akan terus membantu rakyat yang kurang bernasib baik," katanya berucap pada majlis penyerahan BR1M 2.0 daerah Serian di Dewan Masyarakat Serian hari ini.
Turut hadir anggota Parlimen Mambong Datuk Dr James Dawos Mamit.
Seramai 23,983 penduduk di daerah Serian layak menerima BR1M 2.0 dan daripada jumlah itu, seramai 2,827 orang menerimanya hari ini.
Jumlah keseluruhan penerima itu merangkumi 8,143 individu bujang dan 15,840 isi rumah atau keluarga.
Sementara itu, Dawos yang juga Timbalan Menteri Pelancongan berkata pemberian BR1M 2.0 membuktikan kerajaan BN komited dalam menepati janji kepada rakyat.
Selain BR1M 2.0, katanya kerajaan turut memberikan bantuan persekolahan RM100 untuk pelajar sekolah dan baucar buku RM200 kepada penuntut institusi pengajian tinggi.