'Bouncer' didakwa bunuh remaja

Bernama
Disember 23, 2016 13:27 MYT
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan. - Gambar hiasan
Seorang 'bouncer' atau pengawal sebuah pusat hiburan di sini, dihadapkan di Mahkamah Majistret hari ini terhadap pertuduhan membunuh seorang remaja lebih seminggu lalu.
Mohd Azmin Lidin, 28, dari Kampung Cenderamata Likas di sini dituduh membunuh Yaacob Nasran, 18, dekat Siam Thai Bar, Jalan Asia City di sini antara 3.30 pagi dan 4.30 pagi pada 15 Disember lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.
Majistret Jessica Ombou Kakayun menetapkan 7 Februari depan untuk sebutan semula kes dan tiada jaminan ditawarkan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Insp P. Nathan manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Rakhbir Singh.
Sementara itu di mahkamah sama, seorang wanita warga emas, Chin Su Chin, 67, didakwa membunuh rakannya, Ngur Lim Kiau, 64.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kepayan Ridge dekat sini kira-kira 3 petang pada 23 September lepas dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.
Kakayun turut menetapkan 11 Januari depan untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
#bouncer #kes bunuh #kes mahkamah #pusat hiburan
;