Bot tunda karam: Mangsa berenang tujuh jam, 3 masih hilang
Astro Awani
Januari 15, 2021 21:52 MYT
Januari 15, 2021 21:52 MYT
SANDAKAN: Salah seorang mangsa yang terselamat dalam insiden bot tunda karam di perairan Kuala Kinabatangan, berenang lebih tujuh jam dalam keadaan laut bergelora untuk menyelamatkan diri.
Asman Mohamad yang juga anak kepada kapten bot yang masih hilang berkata, ketika kejadian dia berada di luar kabin bot tunda terbabit.
Menurutnya, apabila tiba di sekitar perairan lokasi kejadian, mereka mendapati ombak sangat kuat lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik masuk semula ke Sungai Kinabatangan.
“Namun, ombak kuat tiba-tiba menyebabkan bot tunda kami senget dan saya yang berada di luar ketika itu tercampak ke laut.
“Saya sempat mencapai pelampung keselamatan dan terlihat bot tunda terbalik lalu tenggelam,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sandakan, pada Jumaat.
Menurutnya, selepas itu dia berenang selama lebih tujuh jam untuk sebelum ternampak tongkang yang sebelum itu ditunda oleh bot mereka yang dihanyutkan ombak.
Dia kemudian berenang ke arah tongkang itu sebelum bertemu seorang lagi kru yang terselamat iaitu Roslie Antala.
Sementara itu, Roslie berkata, ketika kejadian cuaca sangat buruk dan dia hanya dapat melihat cahaya lampu bot tunda mereka di hadapan.
Namun cahaya lampu bot tunda tiba-tiba terpadam dan dia tidak dapat melihat apa yang terjadi selepas itu.
Pada Jumaat, dua mangsa berkenaan yang diselamatkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tiba di Jeti Maritim Malaysia Sandakan dan bertemu ahli keluarga mereka.
Difahamkan semua kru bot tunda berkenaan merupakan mempunyai talian persaudaraan.
Pada Rabu bot tunda dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Kinabatangan ke Sandakan karam dipukul ombak. Kejadian melibatkan lima kru bot dan dua daripada mereka selamat.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Sandakan, Komander Maritim Ahmad Firdaus Shaari berkata, SAR pada Jumaat memasuki hari ketiga.
Katanya, operasi SAR tiga kru dan kapten bot itu perairan Kuala Kinabatangan Besar, berdepan kesukaran akibat cuaca buruk dan ombak setinggi lima meter.
Selain itu, katanya mereka juga mengadakan perbincangan dengan syarikat bot tunda itu agar dapat mencari syarikat yang menawarkan perkhidmatan untuk menaikkan bot tunda terbabit yang tenggelam sepenuhnya.
#bot tunda
#karam
#mangsa
#berenang
#masih hilang
#lemas
#Kuala Kinabatangan
#Sandakan
#Maritim Malaysia