Bot tunda karam di Kinabatangan, 3 hilang
Ridzal Abdullah, Radhi Muslim
Januari 14, 2021 16:50 MYT
Januari 14, 2021 16:50 MYT
KOTA KINABALU: Tiga lelaki termasuk seorang kapten sebuah bot tunda dilaporkan hilang selepas bot mereka yang dalam perjalanan dari Kinabatangan menuju ke Sandakan karam di perairan Kuala Kinabatangan Besar, di sini awal pagi, Rabu.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kapten Maritim Zainudin Mohd Zuki memaklumkan seramai lima individu terbabit dalam insiden yang berlaku kira-kira jam 4 pagi itu,
Mereka dikenali sebagai Mohamad Mal, 49, Roslie Antala, 48, Asman Mohamad, 31, Azlan Hassan, 23 dan Mohd Hafiz Isyra Nagrah, 22.
Asman Mohamad dan Roslie Antala bagaimanapun ditemui selamat.
Difahamkan ketika kejadian bot tunda dengan nama Ever Winner itu sedang menunda sebuah tongkang Ever Eternity tanpa muatan.
Bot itu difahamkan mengharungi cuaca buruk sebelum disedari hilang oleh syarikat pengangkutan bot tersebut pada jam 4 pagi, Rabu.
Maklumat tentang kejadian diterima pada jam 4.20 petang pada hari sama sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada jam 5.20 petang.
“Ketua jurutera bot Asman Mohamad, terselamat dan berjaya berenang ke pantai berhampiran.
“Manakala kapten bot Mohamad Mal, serta dua kru Mohd Hafiz Isyra Nagrah, dan Azlan Hassan, masih belum ditemui.
“Seorang kru yang berada di tongkang pula, Roslie Antala, ditemui selamat terkandas di kawasan cetek berhampiran pesisir muara Kinabatangan Besar,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Khamis.
Menurutnya, berdasarkan laporan diterima daripada mangsa yang terselamat, dia tercampak keluar dari bot akibat daripada cuaca buruk dan berusaha berenang ke daratan terdekat.
“Manakala tiga lagi disyaki masih terperangkap di dalam bot sebelum hilang dari pandangan berikutan cuaca yang gelap.
“Panggilan komunikasi dengan bot terbabit juga tiada jawapan dan bot itu tenggelam,” katanya.
Menurutnya, SAR yang memasuki hari kedua dipecahkan kepada enam sektor pencarian dengan keluasan meliputi 211 batu nautika persegi.