Bot tunda dan baj dirompak di perairan Bintulu, kru selamat

Astro Awani
Oktober 27, 2016 09:55 MYT
Perompak bersenjatakan parang mengambil beberapa peralatan komunikasi, dan sejumlah minyak diesel telah dipindahkan ke bot perompak. - Foto APMM
Sebuah bot tunda dan baj yang membawa hampir 2,499 tan muatan minyak sawit dilaporkan dirompak ketika dalam perjalanan dari Tawau, Sabah ke Pelabuhan Klang malam Selasa.
Insiden berlaku sekitar 62 batu nautika dari Pelabuhan Bintulu.
Pengarah Maritim Daerah 12 Bintulu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kapten Maritim Aminuddin Abdul Rashid memaklumkan bot Ever Ocean Silk dan baj Ever Giant itu bagaimanapun ditemukan kapal pasukannya KM Jepak dalam keadaan selamat sekitar 3.24 petang Rabu, kira-kira 30 batu nautika dari Pelabuhan Bintulu.
"Semua 10 kru dalam keadaan selamat dan tidak dicederakan, namun masih trauma," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan APMM pada Khamis.
Menurut Aminuddin perompak bersenjatakan parang mengambil beberapa peralatan komunikasi, barangan peribadi berharga dan memindahkan sejumlah minyak ke bot perompak.
"Kumpulan perompak itu menaiki dua bot, satu daripadanya jenis kayu. Jumlah perompak tidak dapat dipastikan dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Laporan kehilangan bot tunda dan baj dibuat selepas pemiliknya terputus hubungan dengan krew sekitar 9.20 pagi Rabu.
Pihak APMM kemudian mengerah asetnya, KM Jepak dan KM Tabah serta Bot Penggalang 33 untuk mengesan bot tunda dan baj berkenaan.
Muatan minyak sawit yang dibawa bot berkenaan dianggar bernilai RM14.99 juta.
Bot tunda dan baj kini dalam perjalanan ke Pelabuhan Bintulu dengan diiringi dua kapal milik APMM dan dijangka tiba 9.00 malam nanti.
Pasukan forensik khas APM akan menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan perompak.
#Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia #APMM #Baj #Bintulu #dirompak #Pelabuhan Bintulu #pukat
;