Bot terbalik: Thailand bantu misi SAR cari dua lagi mangsa hilang

Bernama
Julai 4, 2020 18:26 MYT
Operasi SAR hari ini diperluaskan ke kawasan ke 450 batu nautika persegi, iaitu sehingga ke perairan Terengganu di Pulau Perhentian.-Bernama
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada Sabtu mendapat kerjasama Polis Marin Diraja Thailand, dalam usaha mengesan dua lagi mangsa yang masih hilang dalam kejadian bot terbalik, Isnin lalu.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, kedua-dua agensi itu melakukan rondaan bersama di sempadan negara dalam jarak kira-kira 10 batu nautika dari Jeti Kastam, Pengkalan Kubor di sini.
"Rondaan bersama itu adalah untuk mencari mangsa-mangsa yang dipercayai berkemungkinan dihanyutkan sehingga ke perairan negara jiran.
"Pencarian diteruskan dengan mengambil kira segala kemungkinan dan kita mendapat bantuan daripada pihak berkuasa Thailand dalam usaha itu," katanya kepada pemberita ketika rondaan bersama itu di perairan Sungai Golok di sini.
Hadir sama, Ketua Polis Marin Diraja Thailand (Takbai), Mejar Polis Thampapol Chauncham.
Dua lagi yang masih hilang itu adalah Arman Ismail, 43, dan Che Wadi Bakar, 40.
Dalam kejadian pukul 8 malam itu, enam yang meninggal dunia ialah Wan Aminuddin Wan Hussin, 63; Mohd Syafizan Daud, 43; Muhammad Zaki Muhamad Nordin, 32; Pok Ta berusia 50-an, Shafiq Che Alim, 29; dan Harun Daud, 57; manakala 12 lagi terselamat.
Katanya, misi pencarian hari ini dilakukan sehingga ke kawasan sempadan antara kedua-dua negara, dengan mengambil kira mereka berkemungkinan dihanyutkan sehingga ke Bukit Tanjung, Thailand.
Beliau berkata, operasi SAR hari ini diperluaskan ke kawasan ke 450 batu nautika persegi, iaitu sehingga ke perairan Terengganu di Pulau Perhentian.
Muhd Nur Syam Asmawie berkata, operasi pencarian membabitkan 15 bot dan 81 anggota, termasuk di Pulau Perhentian itu, namun belum menjumpai apa-apa petanda baharu.
Menurutnya cuaca hari ini adalah baik dan laut tenang, bagaimanapun awan tebal dan apabila berada di tengah-tengah laut, arus serta angin sukar untuk dijangka.
-- BERNAMA
#APMM #hilang #kastam #Malaysia #mangsa #meninggal dunia #Pengkalan Kubor #polis #Thailand #Tumpat
;