Bot terbalik, pemancing udang ditemukan lemas
Sinar Harian
September 24, 2023 12:09 MYT
September 24, 2023 12:09 MYT
BESUT: Mayat seorang pemancing yang dikhuatiri lemas ketika memancing udang bersama seorang rakannya ditemukan pada jarak 250 meter dari lokasi kejadian berhampiran Empangan Pengkalan Nangka (Tok Gong) di Sungai Besut, di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerteh, Mohd Tarmimi Che Musa berkata, mayat Hussin Jusoh, 46, dari Kampung Telaga Papan, Pasir Putih, Kelantan ditemukan terapung di permukaan sungai oleh pasukan penyelamat kira-kira jam 7.45 pagi pada Ahad.
"Mangsa disahkan meninggal dunia dan telah diserahkan kepada pihak polis jam 9 pagi tadi untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, pada Ahad.
Menurut Mohd Tarmimi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang memasuki hari kedua itu melibatkan 10 anggota bomba termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), masing-masing sebuah water tender, kenderaan pacuan empat roda dan bot.
"Usaha pencarian mangsa turut dilakukan dengan menggunakan kaedah water surface menyusuri tebing sungai serta turut menggunakan khidmat dua ekor anjing pengesan Unit K9.
"Operasi pada hari ini tamat sepenuhnya jam 9.08 pagi tadi," katanya.
Sebelum ini media melaporkan seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas hilang ketika bot yang dinaikinya terbalik dalam kejadian awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, ketika kejadian, Hussin sedang melakukan aktiviti memancing udang di sungai terbabit bersama seorang rakannya, Mohd Faizol Ya, 35, kira-kira jam 1 pagi.
Difahamkan, ketika kejadian Mohd Faizol sempat berenang ke tepi sungai sementara Hussin dikatakan telah dibawa arus sungai dan tidak dapat selamatkan. - Sinar Harian