Bot terbalik, nelayan terselamat selepas lima jam terapung di laut

Bernama
November 28, 2021 21:00 MYT
Seorang nelayan ditemukan selamat selepas menempuh detik cemas terapung selama kira-kira lima jam akibat bot dinaiki terbalik dipukul ombak semasa keluar memancing bersendirian di perairan Pulau Kapas, dekat sini semalam. - Gambar hiasan
KUALA TERENGGANU: Seorang nelayan ditemukan selamat selepas menempuh detik cemas terapung selama kira-kira lima jam akibat bot dinaiki terbalik dipukul ombak semasa keluar memancing bersendirian di perairan Pulau Kapas, dekat sini semalam.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata Mohd Nasir Othman, 45, yang terapung dengan berpaut pada bot yang hampir tenggelam, ditemukan dan diselamatkan kru sebuah bot tunda pada kira-kira pukul 5 petang di kedudukan 11.5 batu nautika tenggara Pulau Kapas.
Katanya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kemaman menerima panggilan daripada bot tunda Macallan 9 yang sedang dalam perjalanan dari Thailand menuju ke Indonesia, pada pukul 7.15 malam.
''Bertindak atas aduan itu, bot Penggalang 16 diatur gerak bagi mengambil nelayan itu dari bot tunda berkenaan di kedudukan 10 batu nautika dari Kuala Kemaman.
"Mohd Nasir tiba di Jeti Zon Maritim Kemaman pada pukul 3.40 pagi tadi dan dibawa ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
-- BERNAMA
#bot terbalik #nelayan #Pulau Kapas #Kemaman
;