Bot terbalik: Mayat remaja ditemui penduduk kampung
Sinar Harian
November 26, 2021 22:26 MYT
November 26, 2021 22:26 MYT
SANDAKAN: Mayat seorang remaja perempuan yang hilang selepas terjatuh daripada sebuah bot terbalik ditemui di perairan Kampung Semawang, Batu 19 di sini pada Jumaat.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mangsa yang dikhuatiri lemas dalam kejadian pada malam Khamis telah ditemui.
"Mangsa dijumpai penduduk kampung pada jam 12.18 tengah hari tidak jauh dari lokasi bot dilaporkan terbalik.
"Pasukan bomba membawa mangsa ke kawasan tepi pantai seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, susulan penemuan mangsa itu, operasi mencari dan menyelamat melibatkan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, dua anggota BBP Beluran serta pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditamatkan pada jam 1 petang.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam pada Khamis, remaja terbabit bersama tiga lagi mangsa lain terjatuh ke laut selepas bot dinaiki mereka terbalik ketika dalam perjalanan dari Kampung Semawang Laut ke Kampung Semawang Darat.
Artikel asal disiarkan di Sinar Harian: Bot terbalik: Mayat remaja ditemui penduduk kampung