Bot terbalik, lelaki dikhuatiri lemas di Sungai Kelantan
Vivi Sumanti
Januari 25, 2023 16:59 MYT
Januari 25, 2023 16:59 MYT
MACHANG: Seorang lelaki berusia 23 tahun dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki bersama bapa saudara dan seorang lagi rakan terbalik di Sungai Kelantan berhampiran Pangkalan Pasir Hj Pa di Paloh Rawa di sini, tengah malam tadi.
Kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu berlaku ketika mereka turun ke sungai untuk memasang pukat.
Mangsa yang hilang dikenal pasti sebagai sebagai Muhammad Hisyamuddin Che Zulkifly. Bapa saudara dan rakannya yang masing-masing berusia 39 dan 23 tahun dapat menyelamatkan diri dalam kejadian itu.
Menurut Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Mohd Adli Mat Daud, bot dinaiki mereka dipercayai terbalik selepas terlanggar tali sauh sebuah feri berhampiran Pangkalan Pasir Hendry.
"Selepas bot terbalik, bapa dan rakan mangsa sempat berpaut pada tali sauh feri pasir manakala mangsa cuba berenang ke tepi tebing sungai.
"Tidak lama kemudian, bapa saudara dan rakan mangsa turut berenang ke tepi sungai namun apabila sampai di tebing sungai, mereka tidak menemui mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Mohd Adli, kedua-duanya mereka kemudian menggunakan sebuah bot lain dan turun semula ke sungai untuk mencari mangsa dengan menyusuri sungai hingga ke kampung Kelaweh tetapi gagal menemuinya.
"Mereka kemudian telah meminta bantuan orang kampung untuk menghantar mereka kembali ke Pangkalan Pasir Haji Pa (Muby), dan meminta orang kampung menghubungi pihak polis dan bomba kerana khuatir mangsa lemas dan dihanyutkan arus sungai," katanya.
Susulan laporan itu polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah menjalakan operasi pencarian bermula awal pagi namun mangsa belum ditemui.