Bot ronda karam: 7 anggota tentera terapung lebih 3 jam berjaya diselamatkan
Radhi Muslim
Januari 25, 2023 07:40 MYT
Januari 25, 2023 07:40 MYT
SANDAKAN: Tujuh anggota tentera dari Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) berjaya diselamatkan selepas bot ronda dinaiki mereka karam dipukul ombak di perairan Pulau Nunuyan, Sandakan, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, semua anggota tentera terbabit berjaya diselamatkan anggota dari Batalion 15 Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas dilaporkan terapung selama lebih tiga jam di laut.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, siasatan mendapati bot ronda Viper 7 Markas ATB 2 dengan kekuatan tujuh anggota tentera itu bertolak dari Pulau Bakungan Kecil ke Jeti Markas ATB 2 Batu Sapi, di sini, untuk pengisian minyak logistik dan kebajikan anggota.
"Bagaimanapun pada jam 11 pagi, ketika bot ronda berkenaan tiba berhampiran laut Pulau Nunuyan, ia telah dipukul ombak besar hingga menyebabkannya karam.
"Pada 2.50 petang hari yang sama, semua mangsa yang karam berjaya diselamatkan oleh sebuah bot ronda PGA Batalion 15 dan Bor PAC 66," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua mangsa yang berjaya diselamatkan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan untuk rawatan seterusnya proses dokumentasi.