Bot pancung terbalik di Mersing, sembilan mayat PATI dijumpai

Shahrul Hassan
Januari 23, 2017 08:00 MYT
Ketika kejadian, bot terbabit dipercayai membawa masuk PATI yang dianggarkan seramai 40 orang daripada Indonesia. - Foto Bernama
Sembilan mayat dipercayai Pendatang Tanpa Izin (PATI) ditemui terdampar di pantai berhampiran Tanjung Leman, Mersing, Johor, selepas bot pancung yang dinaiki terbalik kira-kira 9.30 pagi tadi.
Menurut Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Maritim Selatan, Kapten Maritim Saiful Lizan Ibrahim, hasil maklumat orang awam, kesemua mayat yang terdiri daripada tiga lelaki dan enam wanita itu ditemui kira-kira sembilan pagi.
Bagaimanapun identiti kesemua mayat itu belum disahkan lagi.
Ketika kejadian, bot terbabit dipercayai membawa masuk PATI yang dianggarkan seramai 40 orang daripada Indonesia.
Operasi Mencari Dan Menyelamat (SAR) telah diaktifkan pada 9.30 pagi, melibatkan 70 anggota terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM) dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Sementara itu Ketua Polis Daerah Mersing, DSP Cyril Edward Nuing berkata, dalam kejadian kira-kira 4 pagi tadi, bot berkenaan dipercayai dinaiki 40 orang dari Batam, Indonesia untuk masuk ke negara ini sebelum karam akibat dipukul ombak kuat.
Katanya dua mangsa pula ditemui selamat terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 28 dan 20 tahun.
"Kami percaya ada lagi yang terselamat dan telah melarikan diri," katanya kepada seperti dilaporkan Bernama.
Beliau berkata mangsa yang terselamat dihantar ke Klinik Kesihatan Tenggaroh untuk menerima rawatan lanjut.
#Angkatan Pertahanan Awam Malaysia #APM #APMM #bot pancung terbalik #Mersing #pati #pendatang tanpa izin #SAR #Tanjung Leman