Bot pancung terbalik di Mersing, 10 mayat PATI dijumpai

Shahrul Hassan
Januari 23, 2017 19:16 MYT
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Maritim Selatan melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru mengesahkan kejadian bot pancung karam di Pantai Tanjung Leman pada pagi tadi.
Dalam kejadian tersebut bot pancung yang dianggarkan membawa seramai 40 orang dipercayai dari Indonesia menuju ke perairan Tanjung Leman, Mersing.
Timbalan Pengarah Maritim Wilayah Maritim Selatan, Kapten Maritim Saiful Lizan Ibrahim berkata, sehingga kini sepuluh mayat ditemui, enam adalah wanita dan empat lelaki manakala dua mangsa masih hidup, seorang lelaki dan seorang wanita.
“Mangsa yang masih hidup dibawa ke Hospital Mersing untuk menerima rawatan.
“MRSC Johor Bahru menerima maklumat daripada nelayan tempatan pada sembilan pagi tadi dan melaksanakan operasi mencari dan menyelamat di sekitar perairan tersebut.
“Seramai 72 pegawai dan anggota yang terlibat dalam operasi ini yang terdiri daripada APMM, polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), bomba, dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” katanya.
BACA: Bot pancung terbalik di Mersing, sembilan mayat PATI dijumpai
Jelasnya, ketika ini operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dipercayai mungkin masih selamat sedang giat dijalankan.
“Skop pencarian dilakukan lima batu nautika di sepanjang pantai lokasi kejadian.
“Kejadian mungkin berpunca daripada bot terlebih muatan dan keadaan cuaca yang buruk dengan keadaan laut yang bergelora,” katanya.
#Angkatan Pertahanan Awam Malaysia #APM #APMM #bot pancung terbalik #endatang Tanpa Izin #Mersing #pati #SAR #Tanjung Leman
;