Bot pancing karam: Seorang lemas, tujuh selamat - Bomba

Bernama
Jun 10, 2023 19:22 MYT
Mangsa lemas merupakan pengendali bot itu manakala tujuh lagi yang selamat berumur lingkungan 16 hingga 50 tahun dan semuanya lelaki. - Gambar/ Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas ditemukan lemas selepas bot pancing yang dinaiki bersama tujuh lagi individu karam di Pantai Bagan Lalang, Sepang, kira-kira 77km dari sini, petang ini.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, mangsa dikenali sebagai Ang Tong Poh, 67, merupakan pengendali bot itu manakala tujuh lagi yang selamat berumur lingkungan 16 hingga 50 tahun dan semuanya lelaki.
Beliau memaklumkan bomba menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia kira-kira 2.27 petang dan tiba di lokasi kejadian pada 2.40 petang.
"Pihak bomba dimaklumkan sebuah bot pancing dinaiki lapan lelaki dipercayai karam pada 12 tengah hari tadi ketika dalam perjalanan dari Jeti Sepang Kecil ke Kelong Haji Nazri," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Pihak bomba yang membuat pencarian di persisiran pantai kemudian menemukan seorang lelaki terdampar di hutan bakau kira-kira tiga kilometer dari Jeti Sepang Kecil dan disahkan meninggal dunia.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat," katanya.
-- BERNAMA
#bot pancing karam #Bagan Lalang #lemas #Sepang
;