Bot nelayan pukat tunda ditahan miliki alat komunikasi tidak berdaftar

Adie Sufian Zulkefli
Januari 16, 2024 12:28 MYT
Bot nelayan tempatan kelas C ditahan oleh Maritim Malaysia kerana memiliki alat komunikasi tidak berdaftar di kedudukan sekitar 2.6 batu nautika barat daya muara Kuala Kedah, di sini pada Isnin. - Gambar ihsan Maritim Malaysia
ALOR SETAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C kerana memiliki alat komunikasi tidak berdaftar di kedudukan sekitar 2.6 batu nautika barat daya muara Kuala Kedah, di sini pada Isnin.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, tangkapan bot nelayan tempatan berkenaan dilakukan oleh bot peronda PERKASA 1224 milik Maritim Malaysia, semasa rondaan khas Op MARDOF di sekitar perairan Kuala Kedah pada pukul 6.25 petang.
“Hasil pemeriksaan mendapati, bot nelayan yang sedang dalam perjalanan menuju ke laut didapati memiliki satu alat komunikasi jenis radio Very High Frequency (VHF) yang tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Bot itu ditahan di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 kerana menggunakan peralatan komunikasi yang tidak dibenarkan tanpa memiliki sebarang surat kebenaran penggunaannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, bot terbabit juga telah melakukan kesalahan dibawah Akta Perikanan 1985 dengan melanggar syarat sah lesen pemilikan alat perhubungan komunikasi tanpa kelulusan bertulis daripada agensi kerajaan.
Katanya, bot bersama seorang tekong dan tiga kru warga Thailand itu ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.
Kes akan disiasat di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 kerana tidak mempunyai surat kebenaran menggunakan alat komunikasi dan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen.
Maritim Malaysia akan terus komited dan menggandakan usaha dalam melakukan operasi dan pemantauan di sepanjang perairan negara dari semasa ke semasa bagi membendung sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang terutamanya menjelang musim perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.
Sekiranya terdapat sebarang aduan mengenai aktiviti jenayah atau kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.
#bot nelayan #pukat tunda #Maritim Malaysia #Op MARDOF
;